16 Jun 2014

KESATUAN TNB BANTAH LANJUT KONTRAK YTL - AKAN ADA DEMO BESARAN MACAM BERSIH... #BARUSEDAR


Kami tentang habis-habisan jika YTL masih jadi IPP


Sebahagian ahli-ahli kesatuan dalaman TNB membuat demonstrasi sebelum menghantar memorandum membantah pelantikan YTL sebagai IPP di Kuala Lumpur pada 16 Jun 2014


Kesatuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia mengerahkan ahli-ahlinya berarak di jalanan sekiranya TNB masih berminat meneruskan kontrak YTL sebagai penjana tenaga bebas (IPP).

Presiden TNB Junior Officers Union (TNBJOU), Mohd. Roszeli Majid berkata, selain 34,900 ahli, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat awam - ia akan menghimpun bilangan yang jauh lebih besar daripada perhimpunan Bersih.

“Sekiranya kontrak YTL sebagai IPP yang tamat tahun 2015 diperbaharui dan kontrak stesen janaletrik Pasir Gudang, Johor diberi kepada mereka tidak mustahil perkara sedemikian akan berlaku.Kami akan berjuang habis-habisan kali ini.

“Ia bukan sahaja menjadi punca kakitangan TNB menjadi mangsa malah rakyat sendiri akan terbeban dengan kenaikan tarif elektrik pada masa depan,” ujarnya.

Terdahulu, TNBJOU bersama Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB dan Persatuan Unit Keselamatan TNB mengadakan demonstrasi aman dan menghantar memorandun kepada pimpinan TNB membantah pelantikan YTL sebagai IPP.

Seperti gambar di bawah, memorandum berkenaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Azman Mohd.


Mohd. Roszeli berkata, TNB tidak menikmati sebarang manfaat sejak berurusan dalam pembelian tenaga dengan YTL sejak tahun 1993 malah perjanjian pembelian tenaga generasi pertama dengan syarikat itu menyebabkan TNB terpaksa menanggung beban kewangan dengan membayar harga belian tenaga yang lebih tinggi daripada apa yang TNB mampu janakan pada masa itu.

“Berdasarkan angka dan maklumat yang kami peroleh, sehingga kini TNB telah membayar lebih RM20 bilion kepada YTL,” katanya sambil memberitahu pelantikan YTL sebagai IPP dilakukan secara runding terus.

Mereka juga percaya pelbagai implikasi melibatkan jaminan pekerjaan akan berlaku kesan daripada projek berkapasiti 1,400 megawatt (MW) hingga 2,000 (MW) yang ditawarkan kepada YTL.

“Kami masih ingat bagaimana YTL membina loji janakuasa elektrik di Paka, Terengganu dengan menyewa tanah TNB hingga menyebabkan ahli-ahli kami terpaksa dipindahkan bersama kaum keluarga masing-masing.

“Kami juga bersimpati dengan kaum pekerja dan rakyat yang terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi selepas wujudnya IPP milik YTL,” katanya.

Beliau juga bimbang sekiranya projek IPP di Pasir Gudang diberikan kepada YTL, ia memaksa kerajaan menyambung kontrak IPP yang lain yang menjadikan kes YTL sebagai rujukan utama seterusnya mewujudkan dominasi dalam projek IPP.

Mohd. Roszeli juga mendesak supaya pengurusan TNB mempertahankan dan tidak menyerahkan tanah TNB di Stesen Elektrik Pasir Gudang kepada pihak YTL dalam jua keadaan.

“TNB beritahu akan beri keputusan mengenai sama ada penglibatan YTL diterima atau tidak pada 25 Jun ini..kalau tidak selain berarak di jalanan, kami juga akan berkhemah di Pasir Gudang beramai-ramai walaupun ia berlarutan sampai bulan Ramadan,” ujarnya.

Pihaknya juga kesal dengan kenyataan seorang pengurusan YTL yang mengkritik dasar kerajaan dengan menyifatkan Malaysia mengamalkan kronisme sedangkan ia seolah-olah peribahasa 'menepuk air di dalam dulang terkena muka sendiri'.

Menurutnya, sebagai kesatuan dalaman TNB, ini adalah tindakan kali pertama pihak kesatuan TNB membuat demonstrasi dan menghantar memorandum dan mereka tidak akan berbuat sedemikian sewenang-wenangnya melainkan benar-benar terpaksa seperti senario yang berlaku sekarang.--MalaysiaGazette

2 ulasan:

Awanama berkata...

teruskan kesatuan tnb....ganyang mereka...

Awanama berkata...

hidup melayu hidup umno,pakat ramai sokong lagi utk PRU14.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...