19 Jun 2014

ADUN BN JOHOR BANTAH SYARIKAT KESELAMATAN ASING BEROPERASI DI MALAYSIA !!!


Syarikat keselamatan asing yang bakal beroperasi di Johor mesti dipantau

Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat

"Jangan perjudikan keselamatan negeri Johor," tegas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat tentang langkah sebuah syarikat keselamatan asing yang ingin bertapak dan beroperasi di Iskandar Malaysia.

Beliau mengambil pendekatan berbeza berbanding wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri kubu kuat parti pemerintah itu yang lebih banyak mendiamkan diri tentang isu kehadiran syarikat keselamatan asing terbabit di Johor.

Tengku Putra Haron mahukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti secara terperinci latarbelakang syarikat negara jiran itu.

"Kerajaan kena peka kerana ia akan memudaratkan keselamatan negeri Johor, kita kena peka. Kita kena musykil dengan kepintaran dan kepakaran dia, jika kepakaran dia adalah di dalam bidang perisikan dibimbangi akan memudaratkan keselamatan Johor."

"(KDN) kena buat thorough review tentang latarbelakang syarikat ini. Sepatutnya kita mempunyai 'zero-tolerance' terhadap isu keselamatan. Jikalau dia (kerajaan) sudah tengok dan selamat, teruskanlah tetapi kerajaan kena bertanggungjawab, " katanya di sini hari ini.

Tengku Putra yang merupakan anggota DUN BN kawasan Kempas buat penggal pertama mengambil risiko politik dengan lantang memperjuangkan isu kehadiran syarikat keselamatan asing itu.

"Di atas ketaatsetiaan saya kepada Raja dan Negara dan keselamatan dalam negeri dan hak rakyat, saya terpaksa bersuara," katanya.

Mac lepas, syarikat terbabit yang berpengkalan di Singapura Soverus Group menandatangani perjanjian persefahaman dengan rakan kongsi tempatannya dengan niat untuk memulakan operasi kawalan keselamatan di kawasan Iskandar Malaysia.

Soverus yang dimiliki oleh bilionair Singapura, Peter Lim telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan anak Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman.

Peter Lim mempunyai pelbagai pelaburan di Johor termasuk di dalam projek hartanah bernilai RM10 bilion di bandaraya Johor Bharu menerusi syarikat Rowlsey, di mana beliau dan keluarga kesultanan Johor merupakan pemegang saham utama.

Walaupun tegas memperjuangkan isu kehadiran syarikat keselamatan asing itu, namun Tengku Putra tetap berterima kasih terhadap kehadiran pelabur asing di Johor yang membantu membangunkan negeri Johor.

"Namun ia (pelaburan asing) tidak seharusnya memudaratkan keselamatan negeri," kata beliau.

Menurut Tengku Putra, beliau difahamkan syarikat terbabit mempunyai kakitangan seramai 600 orang, menyamai kekuatan satu batalion tentera dan kelengkapan keselamatan yang canggih dan moden.

Apa yang dibimbanginya kata beliau, adalah jika terdapat pihak tertentu yang mempergunakan kehadiran syarikat keselamatan itu untuk menjalankan kegiatan perisikan di Johor atau mengumpul maklumat tentang pemimpin-pemimpin negeri.

Beliau tidak mahu apa yang berlaku terhadap Pulau Batu Puteh, berulang sekali lagi.
-- MALAYSIAGAZETTE

1 ulasan:

Awanama berkata...

Macam lnl punya kerajaan negeri pilihan rakyat johor. Siapa bodoh, yang mengundi leeeeeee

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...