22 Mei 2014

Puncak Niaga, SYABAS bakal diambil alih Kerajaan Negeri


SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri dijangka akan mengambil alih sepenuhnya industri perkhidmatan air selewat-lewatnya enam bulan daripada sekarang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan satu cadangan pelan tindakan bagi memastikan penstrukturan semula industri air di Selangor dapat diselesaikan secepat mungkin Untuk mencapai sasaran itu, hari ini.

Katanya, pelan tindakan itu diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili melalui satu surat, bertarikh 21 Mei 2014 (hari ini).


“Pelan tindakan penstrukturan semula industri air mensasarkan proses penstrukturan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Kerajaan Negeri yakin sasaran penyelesaian dapat dicapai berdasarkan perbincangan intensif yang sedang giat diadakan pihak yang terbabit iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB); syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS); agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta kementerian selaku pemudah cara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco yang turut disertai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pada 16 Mei lalu, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bersetuju dua buah syarikat konsesi air kepunyaannya iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) diambil alih Kerajaan Negeri masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion.

Sebelum ini, pemegang saham ABASS bersetuju dengan tawaran untuk pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.

Dengan ini, tiga daripada empat buah syarikat konsesi air menerima tawaran pengambilalihan Kerajaan Negeri sementara Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih tidak bersetuju dengan tawaran diberikan.

Jadual pelaksanaan pelan tindakan penstrukturan yang disediakan Kerajaan Negeri antara lain membabitkan surat tawaran KDEB kepada pemegang saham daripada tiga syarikat konsesi yang menerima tawaran dan penubuhan Jawatankuasa Bersama Pelaksanaan Langat 2.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...