18 Mei 2014

AKHIRNYA PUNCAK NIAGA HOLDING SETUJU JUAL SYABAS



KUALA LUMPUR - Konflik yang melanda program penyusunan semula industri air Selangor akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila tiga daripada empat syarikat konsesi air negeri itu bersetuju dengan terma-terma pengambilalihan yang dikemukakan kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang dikeluarkan hari ini, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) iaitu pemilik syarikat konsesi air Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bersetuju dua syarikat tersebut diambil alih Kerajaan Negeri Selangor.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar, Pejabat Menteri Besar Selangor:

Berikutan perkembangan terbaharu di mana dua lagi syarikat konsesi air telah bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air oleh Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menangguh penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) kerana pada ketika ini tidak ada keperluan untuk menguatkuasa seksyen tersebut ke atas industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor. Keputusan ini juga telah disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Keputusan ini telah dibuat oleh YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air setelah mendapat maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor dalam satu mesyuarat di antara beliau dan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor pagi tadi di mana kedua pihak telah dimaklumkan bahawa Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah bersetuju untuk dua buah syarikat konsesi air kepunyaannya iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) diambil alih oleh Kerajaan Negeri Selangor - tertakluk kepada persetujuan rasmi oleh pemegang saham kedua-dua syarikat ini setelah EGM diadakan kelak.

Mengikut persetujuan tersebut, PNHB telah menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih segala ekuiti, aset dan liabiliti PNSB dan SYABAS masing-masing berjumlah RM2.47bilion dan RM3.11 bilion.

Ini bermakna tiga daripada empat buah syarikat konsesi air di Negeri Selangor setakat hari ini telah menerima tawaran pengambilalihan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sebelum ini pemegang saham ABASS telah bersetuju kepada tawaran untuk pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air yang telah dipersetujui oleh pemegang saham ABASS pada harga RM900 juta.

Perlu ditegaskan bahawa jumlah penjualan ekuiti, aset dan liabiliti air bagi PNSB, SYABAS dan ABASS yang berjumlah RM6.57 bilion adalah selari dengan jumlah yang telah dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman bertarikh 26 Februari 2014 di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Jumlah keseluruhan untuk mengambil alih 4 buah syarikat konsesi air di negeri Selangor yang dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman tersebut yang seterusnya ditawarkan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kepada pemegang saham konsesi air di Selangor pada hari yang sama ialah sebanyak RM9.65 bilion.

Dalam pada itu, memandangkan pihak pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih tidak bersetuju dengan tawaran Kerajaan Negeri Selangor, persetujuan telah dicapai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor supaya bayaran bekalan air pukal SPLASH disemak semula bagi mendapatkan harga yang munasabah.

Sungguhpun demikian, Kerajaan Negeri Selangor masih bersedia untuk meneruskan pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti SPLASH sekiranya pemegang saham SPLASH memberi persetujuan kepada harga yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri pada 26 Februari 2014.

Dengan penerimaan tawaran oleh PNSB, SYABAS dan ABASS, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk meneruskan penstrukturan perkhidmatan air negeri Selangor dengan perbincangan ke arah menandatangani perjanjian jual beli saham di antara KDEB dan pemegang saham kepada ketiga-tiga syarikat konsesi yang disebut di atas.

Kerajaan Negeri Selangor juga akan meneruskan perbincangan untuk menandatangani perjanjian penjualan dan pajak semula aset air dengan Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Penjualan aset air Kerajaan Negeri Selangor kepada PAAB berjumlah RM2 bilion ini akan membantu Kerajaan Negeri menampung keperluan membayar sebahagian daripada RM9.65 bilion bagi tujuan pengambilalihan 4 buah syarikat konsesi air seperti ditawarkan.

Selanjutnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan dan perjalanan jawatankuasa yang akan memantau dan memastikan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Skim LRAL2) dapat dilaksanakan mengikut jadual sesuai dengan keperluan operasi dan perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dengan perkembangan ini juga, semua keperluan dan kelulusan berkaitan tanah dan permit untuk menyiapkan Skim LRAL2 akan segera dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, seperti mana terkandung di dalam MoU yang telah ditandatangani serta Heads of Agreement yang akan disempurnakan bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa persetujuan untuk meneruskan penstrukturan perkhidmatan air yang dicapai hari ini melalui pengambilalihan tiga konsesi air negeri Selangor adalah langkah pertama ke arah peningkatan pemantapan industri perkhidmatan air di negeri Selangor dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...