06 Mei 2014

AMARAN: PEMIMPIN PAS PUSAT PUN TAK YAKIN UMNO SOKONG HUDUD DI PARLIMEN



Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa minta parti tu jangan terperangkap dengan jaminan Umno berhubung isu hudud.

Seorang lagi pemimpin PAS memberi amaran agar parti itu tidak terperangkap dengan isu hudud kononnya Umno akan menyokongnya sedangkan sehingga kini tidak ada jaminan ke arah itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam wawancaranya dengan akhbar PAS, Harakah berkata, sehingga kini hanya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom sahaja yang berkata akan menyokong.

"Bagi saya, belum ada jaminan Umno akan sokong sebab Jamil Khir sebagai menteri bertanggung jawab hal ehwal agama menyatakan akan sokong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menunjukkan ke arah itu.


"Jadi, PAS jangan terperangkap pula dengan jaminan ini. Kita tahu Umno tidak akan bergerak kecuali melalui apa yang Najib tentukan," kata Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar dalam wawancara itu.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa juga memberikan amaran yang sama Umno tidak semestinya menyokong usul itu.

Sehubungan itu, beliau meminta perdana menteri menyatakan sikapnya terlebih dahulu sebelum PAS bergerak lebih jauh.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata kerajaan negeri akan membawa satu rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dilaksanakan di negeri itu.

Ini susulan kenyataan Jamil Khir di Parlimen iaitu kerajaan pusat akan membantu mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan undang-undang Islam itu.

Bagaimanapun, kini sesetengah pemimpin PAS mempertikaikan langkah membawa rang undang-undang persendirian itu kerana bagi mereka ia bukan cara yang sesuai.

Dalam wawancara itu, Mujahid berkata, apa yang menghalang undang-undang ini dilaksanakan adalah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang hanya memperuntukkan kuasanya kepada 356 sahaja iaitu tiga bulan penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Tetapi entah bagaimana perkara ini ditukar kepada Private Bill. Perkara ini masih di bawah perbincangan, dan bagaimana hendak dibawa dan ia diputuskan," kata Mujahid dalam wawancara itu.

Isu rang undang-undang persendirian menimbulkan pelbagai kontroversi dan rakan PAS dalam Pakatan iaitu DAP membantahnya.
Dalam hal ini, Mujahid meminta semua ahli PAS berlapang dada dan menerima teguran secara terbuka dan bertindak dalam konteks demokrasi yang membolehkan perbezaan pendapat berlaku.
"Saya rasa ia menjadi asas panduan dan pada masa sama kita berbincang tentang hudud. Kita akan berdepan secara terbuka dengan kawan mahupun lawan untuk berbincang dan menjelaskannya. Perkara ini sudah termasuk dalam lingkungan demokrasi, maka kita bersedia untuk orang mengkritik," katanya.
Beliau yakin Umno akan mengambil kesempatan dalam keadaan tegang untuk kepentingannya.
"Umno janganlah cuba memisahkan PAS dengan rakan-rakan dan pada masa sama Umno pun hendak menimbulkan yang dia pun Islamik sedangkan belum ada jaminan benda itu akan berlaku. Sudah cukup dia (Umno) gunakan ruang ini untuk belasah kita," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak kena kawal diri dalam keadaan tegang ini.
"Orang PAS sendiri jangan cepat melenting," katanya.

3 ulasan:

lijitra berkata...

betul kata Dr Mujahit.cuba toleh belakang dan fikir apa yn telah umno buat pada Pas.inikan pula soal hudud.mana boleh percaya dgn puak2 ni.bila2 masa saja depa boleh putar.

Tanpa Nama berkata...

jgn kena sengat dua kali satu lobang...

Unknown berkata...

Jamil khir sokong hudud.kassim Ahmad tolak hadis pun dia sokong.apa cerita ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...