15 April 2014

TERPANAS ! INSTITUSI MALAYSIA SUDAH HANCUR - WAJIB BACA


Kehancuran institusi Malaysia



Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih mengelak memberi kenyataan mengenai saat penting selepas MH370 didapati hilang. 

Satu ketika dahulu, Malaysia dikenali dengan institusinya – perkhidmatan awam yang memudahkan pembangunan pesat daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian, sistem kehakiman baik mengikut Komanwel dan tentera yang mengalahkan pemberontakan komunis.

Hari ini selepas 50 tahun sebagai sebuah negara, dari Perlis ke Sabah apa yang kita lihat adalah kebodohan dan ketidakcekapan, kehancuran kepada institusi Malaysia.

Peguam negara kini menyerahkan kes-kes besar kepada peguam Umno; ketua polis negara (KPN) mengetuai organisasi yang tidak melakukan apa-apa apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan; Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kehilangan kredibiliti dan maruah tentera udara kini hilang.


Jadi kepada siapa rakyat Malaysia boleh mengadu apabila memerlukan?

Kelihatan semuanya tidak boleh diharapkan. Sedih tetapi inilah kebenarannya.

Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac dengan 239 orang di dalamnya mengesahkan sesuatu yang rakyat Malaysia mengesyaki sejak dahulu lagi. Tiada meritokrasi dan pemikiran dalam perkhidmatan awam.

Pihak berkuasa, daripada menteri ke bawah masih belum menjelaskan apa yang berlaku semasa saat-saat penting selepas MH370 didapati hilang. Laporan televisyen CNN dan BBC semalam menunjukkan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengelak soalan itu.

Bolehkah sektor penerbangan awam mempercayai DCA untuk melakukan perkara betul dengan serta-merta selepas penerbangan yang hilang daripada skrin radar? Mengapa tidak tentera udara diberitahu mengenai pesawat hilang?

Mengapa tidak pembuat kapal terbang Boeing diberitahu dengan serta-merta? Mengapa tiada kawalan trafik udara bertindak balas terhadap rakan-rakan Vietnam mereka apabila diberitahu tiada hubungan dengan Boeing 777-200ER yang sedang dalam perjalanan ke Beijing?

Mengapa senyap?

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga perlu menjelaskan bagaimana mereka mempertahankan ruang udara negara sepanjang hari. Memang benar kita mempunyai lelaki dan perempuan berpakaian seragam yang berani, tetapi blip misteri bergerak dari timur ke barat langsung tidak dapat dikesan.

Langsung tidak dialu-alukan oleh radio, apa lagi untuk menghantar jet untuk menyemak blip itu. Atau bertanya kepada DCA atau pengawal trafik udara jika mereka turut melihat blip itu.

Apakah TUDM mempunyai jet pejuang yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga? Berapa banyak yang boleh digunakan selain daripada yang sering ditayangkan dalam perbarisan, pertunjukan udara dan perlumbaan F1?

KPN pula memainkan peranan sebagai kaunselor kepada pasangan bercerai daripada menguatkuasakan undang-undang selepas bekas suami menculik anak lelakinya daripada isteri yang mendapat hak penjagaan.

Adakah KPN atau sesiapa sahaja dalam pasukan polis tahu undang-undang dan kesalahan yang dilakukan, atau mereka membuat kesimpulan terdapat konflik dalam undang-undang sivil dan syariah menyebabkan mereka tidak dapat mengambil tindakan?

Bolehkah sesiapa sahaja menggunakan agama dan melepaskan diri daripada jenayah? Bagaimana orang ramai mahu mempercayai polis untuk menguatkuasakan undang-undang dibuat oleh penggubalnya yang dipilih oleh rakyat?

Di mana peguam negara dalam kes ini? Apakah terlalu penting untuk ke London bagi menyiasat siapa yang mempunyai hak kepada kotak hitam MH370 sebaik sahaja ditemui daripada kekal dalam negara dan membuat keputusan sama ada untuk mendakwa atau mengambil tindakan kepada lelaki yang menculik anaknya daripada isteri yang mendapat hak penjagaan di sisi undang-undang?

Atau menggunakan khidmat luar peguam Umno – daripada mempertahankan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam semakan undang-undang oleh DAP kepada mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan liwat.

Apakah keputusan peguam negara untuk menggunakan khidmat luar merupakan pengesahan dan pengakuan bahawa tiada lagi bakat dalam Pejabat Peguam Negara yang boleh dipercayai untuk membuat kerja?

Dan apakah masih ada bakat dalam perkhidmatan awam, pasukan polis dan tentera?

Malaysia pernah mempunyai perkhidmatan awam dicemburui ramai – daripada menghapuskan kemiskinan dan tindakan afirmatif kepada perindustrian serta badan kehakiman dan pendakwaan yang dihormati.

Mereka berjaya melakukannya pada ketika itu dengan sumber dan tenaga yang lebih sedikit daripada sekarang.

Hari ini, Malaysia mempunyai perkhidmatan awam, pasukan polis, tentera dan pendakwaraya yang lemah. Ini merupakan kehancuran institusi yang membentuk negara menjadi harimau Asia satu ketika dahulu.

Kita mungkin memerlukan satu lagi generasi untuk memperbaiki institusi-institusi ini. Atau ia hanya tinggal harapan seperti mengharapkan satu lagi ping dari Lautan Hindi? ~TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...