16 Oktober 2013

KOMPOM MUKRIZ KALAH, ADA MENTERI BERKEMPEN...BAWA PERWAKILAN NAIK KAPAL SELAM & HELIKOPTER?



PAS ramal Mukhriz kalah, penyandang kekal



KUALA LUMPUR: PAS meramalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir akan tewas pada pemilihan Naib Presiden Umno 19 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan trend yang ada dalam Umno sekarang, tidak banyak berlaku perubahan dalam pemilihan itu nanti.

Justeru, katanya, menurut sumber dalaman, tiga penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan kedudukan mereka.

Berdasarkan trend sekarang juga, tambahnya, dua lagi calon Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak boleh memanangi jawatan itu.

Menurutnya, walaupun muka-muka lama dikatakan akan mengalami kekalahan terutama Hishammuddin namun ada kempen yang cukup kuat di luar politik Umno untuk mengekalkan mereka.

“Ada campur tangan luar daripada politik Umno yang berkempen cukup kuat untuk mempengaruhi perwakilan bagi mengekalkan tiga Naib Presiden Umno sekarang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sumber itu mendedahkan satu perjumpaan telah diadakan oleh pihak berkenaan untuk mempengaruhi perwakilan Umno pada pemilihan nanti supaya memberikan kemenangan kepada Hishammuddin dan menolak Mukhriz.

Katanya, menurut sumber itu lagi, jika Mukhriz berjaya pada pemilihan kali ini sudah tentu bapanya, Tun Mahathir akan terus campur tangan dalam urusan Umno.

“Jika Mukhriz menang, Mahathir akan campur tangan dengan lebih hebat lagi di dalam Umno kerana Mukhriz dilihat adalah proksi Mahathir,” ujarnya.

Justeru, ujarnya ‘orang-orang’ Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pasti akan bekerja secara all out untuk memastikan kekalahan Mukhriz bagi mengelakkan wujudnya campur tangan yang berterusan daripada Mahathir terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Najib sekarang.

Beliau menambah, atas perkiraan itu, Mukhriz mesti dikalahkan pada pemilihan Umno kali ini.

Pada pemilihan sayap yang diadakan kelmarin, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Jalil berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan Wanita Umno.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...