01 Jun 2013

BN SENDIRI TAK PERCAYAKAN SPR - FAIL 50 PETISYEN


Fail Petisyen: BN sendiri tak percaya SPR – Saifuddin


KUALA LUMPUR 1 Jun: Tindakan Barisan Nasional (BN) untuk memfailkan lebih 50 petisyen di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukti parti itu sendiri tidak percaya kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.


Secara tidak langsung, ujarnya, tindakan Umno BN itu ibarat ‘meludah ke langit’ kerana mereka sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.

“Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR. SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan itu juga mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi, seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya,” ujar Saifuddin.

Tegasnya, mana-mana parti politik hanya akan memfailkan petisyen selepas meragui keputusan pilihan raya yang dikendalikan badan seperti SPR.

“Jadi tindakan Umno BN ini akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,”.

“Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan,” katanya.





PM: Jangan rosak kebolehpercayaan SPR kerana kepentingan diri, kelompok

 Jun 1 2013

Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana menteri menegaskan janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.

Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya  mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana
Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata untuk memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik  sama ada kerajaan atau pembangkang.

"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," katanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sy cukup setuju dgn langkah ini. Walaubagaimanapun jgn hanya memindahkan ke parlimen tapi pengerusi & pegawai2 spr tu perlulah juga ditukar baru. Senang cerita bubar spr yg ada ni & tubuhkan spr baru yg dibawah bidang seliaan parlimen. Anggota2 baru spr harus dipilih spt anggota2 dlm RCI. Dgn ini Insyaallah kreadibiliti spr takkan dipertikai lg slps ni! Allahualam

Tanpa Nama berkata...

ajak bn bergabung untuk turun blackout 505.

kalau tak turun, tu jelas sandiwara nak kurangkan kemarahan rakyat je.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...