19 Mei 2012

Era monopoli maklumat oleh kerajaan sudah berakhir


Dunia melangkah ke dekad kedua dalam abad ke-21 ini dengan menyaksikan satu krisis yang melanda masyarakat dunia. Saya menggelarnya krisis kerana fenomena ini berlaku dengan terlalu mendadak dan dalam skala yang amat besar serta mampu memusnahkan struktur dan institusi yang sedia ada.

Krisis ini ialah revolusi pemikiran yang simbolnya tentulah Steve Jobs, pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc.

Keberanian individu dan masyarakat
Ciri utama revolusi pemikiran ini ialah keberanian individu dan masyarakat untuk menonjolkan kelainan dalam pemikiran mereka, dalam kata lain, manusia berani mencetus idea-idea di luar kotak tradisi.

Ini antara lain dijana oleh perkembangan mendadak dalam kecapaian maklumat (access to information). Maklumat dicapai dan dikongsi dengan lebih pantas, lebih murah dan pada skala yang lebih besar.

Contohnya, pada setiap jam dan minit, sesebuah syarikat korporat boleh memperoleh data trend atau pun corak kepenggunaan berpuluh-juta pengguna di seluruh dunia, termasuk minat dan kecenderungan mereka terhadap produk atau pun perkhidmatan tertentu.

Data-data ini mudah diperoleh dengan mengumpul corak carian dalam laman Google atau pun corak posting yang disiarkan dalam Facebook.

Revolusi pemikiran ini bukan sahaja menyebabkan pembangunan teknologi yang pesat, contohnya Apple, malah mencetus revolusi politik di tempat-tempat yang tidak dijangka seperti negara-negara bekas Soviet Union, Afrika, Arab dan Asia
.

Apabila masyarakat mempunyai lebih banyak maklumat dan berani berfikir di luar pemikiran arus perdana, maka rakyat akan bangkit mempersoalkan tradisi-tradisi sedia ada termasuk aktiviti, dasar dan hala tuju kerajaan.

Dalam aspek ini, kerajaan mesti sedar bahawa ketelusan adalah satu nilai yang tidak dapat ditawar-menawar lagi.

Kerajaan perlu telus


Pada masa dahulu, kerajaan berkuasa melalui monopoli maklumat, termasuk monopoli faktor penyebaran maklumat seperti media massa, radio, surat khabar dan TV. Malah begitu banyak kerajaan termasuk kerajaan Malaysia di peringkat pusat mempunyai undang-undang rahsia rasmi yang menghadkan capaian rakyat ke atas maklumat-maklumat penting.

Selepas krisis revolusi pemikiran, semua ini akan berubah. Sama ada kerajaan memberikan maklumat atau tidak, maklumat akan tetap disebarkan, dikongsi dan dicapai pada skala besar, pantas dam murah.

Dalam sistem demokrasi seperti Malaysia, rakyat akan bangkit menyuarakan pandangan, memberikan idea serta menyokong atau membangkang dengan menggunakan maklumat-maklumat baru tersebut.

Justeru, kerajaan haruslah telus. Kerajaan haruslah berada di baris hadapan menawarkan maklumat operasinya secara berterusan.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa dalam krisis revolusi pemikiran ini, sama ada sesebuah kerajaan itu menyiarkan maklumat mereka atau tidak, rakyat akhirnya akan memperolehinya juga.

Bayangkan pada hari ini resit-resit perbelanjaan dan perbualan-perbualan tertutup pun boleh disiarkan dalam Internet.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa kawalan dan monopoli maklumat oleh kerajaan telah pun dimusnahkan oleh krisis ini.Kerajaan yang masih menyimpan rahsia daripada rakyat akan dihukum rakyat. Ketelusan dan bercakap benar bukan lagi pilihan yang kita boleh tolak.

Ketelusan maklumat untuk akar umbi

Sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), saya menyeru supaya MPSP mengkaji semula pengurusan maklumat Majlis selaras dengan kedudukan Pulau Pinang yang mendahului negeri-negeri lain dari segi ketelusan melalui prinsip pentadbiran cekap, akauntabel dan telus (CAT).

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang juga dalam proses menggubal enakmen kebebasan maklumat. Justeru, tiada alasan mengapa MPSP tidak boleh menerapkan unsur-unsur ketelusan secara lebih meluas dalam operasi kita.

Di sini izinkan saya memberi tiga cadangan sebagai permulaan:

1. Majlis perlu menambahkan usaha menyebar maklumat tentang mesyuarat biasa Majlis atau pun lebih dikenali sebagai mesyuarat Majlis Penuh kepada orang awam serta mempertingkatkan penglibatan orang awam dalam mesyuarat Majlis Penuh.

Mesyuarat ini merupakan instrumen utama meluluskan dasar kerajaan tempatan, justeru amat penting melibatkan orang awam terutamanya warga Seberang Perai. Dalam aspek ini, saya juga menyeru pihak media untuk bekerjasama memberikan peringkatan setiap bulan sebelum mesyuarat Majlis Penuh pembaca agar orang awam turut menghadiri mesyuarat ini.

2. Membenarkan orang awam untuk mendaftar bagi menyertai mesyuarat jawatankuasa sebagai pemerhati.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Seksyen 23) memperuntukkan penyertaan orang awam dalam mesyuarat jawatankuasa. Akta ini juga menekankan prinsip ketelusan dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan memperuntukkan bahawa semua mesyuarat PBT adalah terbuka kepada orang awam, dengan mengambil kira pengecualian-pengecualian tertentu.

3. Penyiaran atau pun penyebaran maklumat dalam laman web MPSP termasuk minit mesyuarat, laporan kemajuan berkala, dokumen berkaitan bajet dan sebagainya.

Oleh Steven Sim

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...