07 Februari 2012

PENGERUSI KITA KEDAH, PULAU PINANG DIPECAT


SHAH ALAM - Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) negeri Kedah dan Pulau Pinang dipecat berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar peraturan-peraturan parti itu.

Setiausaha Pusat Kita, Masrum Dayat berkata, Tan Tee Beng dan Zamil Ibrahim, masing-masing ketua Kita Kedah dan Pulau Pinang telah diputuskan pemecatan mereka dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin, malam tadi.

"Jawatankuasa Disiplin mendapati mereka telah melanggar peraturan-peraturan parti dengan membuat kenyataan secara berterusan mengecam parti dan kepimpinan parti," kata Masrum ketika dihubungi.

Dalam pada itu, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Wan Hasemah @ Wan Norjam Wan Sulaiman berkata, "Jawatankuasa Disiplin Kita dalam mesyuaratnya pada 6.2.2012 (semalam) telah sebulat suara memutuskan memecat keahlian Tan Tee Beng dan Zamil Ibrahim kerana terus-menerus melakukan pelanggaran melampau terhadap disiplin parti, berkuat kuasa serta-merta."

Kata beliau, kedua-dua mereka boleh merayu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat terhadap pemecatan tersebut dalam masa 14 hari.

Tee Beng juga merupakan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Kedua-dua pemimpin itu meruakan antara yang melahirkan pandangan kritis terhadap Datuk Zaid Ibrahim sejak presiden itu melahirkan cadangan mahu membubarkan Kita.

Khamis lalu, Zaid berkata, keputusan membubarkan Kita terpaksa dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa pihaknya tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota parti di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka mengkritik Pakatan Rakyat (PR).

Laporan media semalam menyebut lima pengerusi negeri Kita akan mengadakan usul tergempar bagi mendesak Zaid meletak jawatan sebagai presiden parti.Tee Beng berkata, Zaid sepatutnya menarik diri dari memimpin Kita, bukannya membubarkan parti berusia setahun itu.
Zamil juga melahirkan pandangan yang serupa minggu lalu

Sementara itu penjelasan dibawah dari Zamil dan Tee Beng........


Zaid Pecat Kami Sebab Mahu Bubar KITA, Kata Zamil, Tee Beng

SHAH ALAM, 7 FEB: Pengerusi Kedah dan Pulau Pinang parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), tidak mengiktiraf pemecatan mereka daripada parti itu dan bertekad memastikan KITA terus “hidup” dan presidennya Datuk Zaid Ibrahim diusir.

Zamil Ibrahim (Kedah) dan Tan Tee Beng (Pulau Pinang) berkata mereka menjadi mangsa salah guna kuasa akibat tindakan Jawatankuasa Displin parti untuk memecat mereka malam tadi.“Saya akan buat satu laporan kepada Pendaftar Pertubuhan tentang salah guna kuasa pemimpin-pemimpin dalam parti ini,” kata Tee Beng kepada Antarapos.com.

Tee Beng mendakwa Zaid mahu memastikan cadangan beliau memansuhkan KITA tidak mendapat bantahan, justeru tindakan memecat beliau dan Zamil yang menjadi pengkritik utama cadangan itu.
“Jadi kalau dia takut dengan tujuh pimpinan negeri, memanglah dia hendak memecat kita sebab kita boleh membantah,” kata beliau merujuk kepada pimpinan beberapa negeri lain yang turut bantah cadangan membubarkan KITA.

Dalam pada itu, Zamil berkata Zaid jelas mendalangi pemecatan itu kerana tidak tahan dengan tekanan pimpinan negeri yang menolak hasrat beliau membubarkan KITA.“Dia (Zaid Ibrahim) sudah tidak ada sokongan majoriti, jadi hanya kerana dia merasa tekanan daripada pelbagai sudut dan dua suara yang agak tegas daripada saya dan Tan Tee Beng, maka dia hendak pecat kami,” kata beliau.

“Dia (Zaid Ibrahim) boleh buat apa sahaja yang dia hendak buat, tetapi saya dan teman-teman sudah tidak mengiktiraf beliau,” tambahnya.

Zamil dan Tee Beng melontarkan kritikan pedas terhadap Presiden KITA Zaid Ibrahim, khususnya selepas Zaid bercadang membubarkan Kita menerusi sebuah mesyuarat agong luar biasa tidak lama lagi.

Selain mereka berdua, pimpinan Kita di Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Selangor juga menolak cadangan Zaid itu. Malah dilaporkan mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.Zamil dan Tee Beng mempunyai 14 hari untuk merayu pemecatan mereka kepada Jawatankuasa Eksekutif parti.

MInggu lalu, Zaid berkata lebih baik KITA dibubarkan kerana ia gagal menarik ahli dan kurang sumber pembiayaian.Beliau berkata pembubaran itu juga akan mengatasi keraguan bahawa KITA tidak menyokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Zaid mendakwa persepsi sedemikian timbul kerana kritikan yang sering dilontarkan oleh Zamil dan Tee Beng terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...