28 Januari 2012

MASYARAKAT HARUS DESAK PEMBENTUKAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK NFC

“Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik, patut bersatu dengan suara yang terang dan jelas bagi menuntut pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk NFC/NFCorp,"


KUALA LUMPUR, 27 Jan — Lim Kit Siang bertekad untuk memastikan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) terus hangat, dan mendesak rakyat Malaysia berkerjasama mendesak kerajaan supaya membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal tersebut.

Beliau menggelar NFC satu "kontroversi terbesar", dan pemimpin veteran ini berusaha menyenaraikan beberapa sebab mengapa kerajaan, dan pemimpin utama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, harus menghadapi kenyataan dakwaan bahawa mereka terlibat terhadap skandal tersebut.

"Konspirasi sedemikian tidak seharusnya dibiarkan, skandal 'kondominium lembu' NFCorp (National Feedlot Corporation) menjadi satu simbol kegagalan pentadbiran Najib dalam mencegah rasuah dan mengetuai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," kata Lim.

Dalam senarainya, Ipoh Timor MP menyatakan bahawa pinjaman kerajaan RM250 juta yang dimaksudkan bagi projek penternakan lembu diakui pernah digunakan untuk membeli unit-unit kondominium mewah di Kuala Lumpur dan Singapura, petak-petak tanah di Putrajaya dan membiayai perjalanan ke luar negara dan “gaji-gaji luar biasa tinggi” untuk ahli-ahli keluarga Shahrizat.

Shahrizat, menteri dalam Kabinet Najib, telah berulang kali dikaitkan dengan skandal terbabit berikutan suaminya merupakan pengerusi NFCorp, dan anak-anaknya merupakan ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu.

Lim juga menyatakan bahawa selain daripada Shahrizat dan keluarganya, personaliti-personaliti penting lain juga dikaitkan dengan skandal NFC itu, termasuklah Najib yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Projek Berimpak Tinggi apabila NFC dimulakan, Muhyiddin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian sekarang.

Beliau turut menamakan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerana beliau merupakan ketua Kabinet ketika projek itu bermula pada 2007.

Lim juga mempersoalkan keengganan pihak-pihak berkuasa untuk membincangkan skandal berkenaan, walaupun dengan jelas telah dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Antara lain, Lim menunjukkan bagaimana laporan Peguam Negara telah ditangguhkan daripada dibentang di Parlimen tahun lepas, keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “ selepas lima bulan” memulakan penyiasatan, kegagalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menyiasat skandal tersebut dan keengganan Najib dan Muhyiddin untuk melaksanakan siasatan Suruhanjaya Diraja.

Menurut Lim, percubaan-percubaan itu dilihat cuba menyembunyikan skandal berkenaan yang

menurutnya bukan sahaja "kotor" seperti laporan media, malah, projek penternakan lembu bernilai jutaan ringgit itu merupakan satu “huru-hara yang dasyat”.

“Secara keseluruhan, terdapat halangan yang besar terhadap konspirasi tersebut bagi menyembunyikan skandal NFC/ NFCorp.

“Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik, patut bersatu dengan suara yang terang dan jelas bagi menuntut pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk NFC/NFCorp," katanya lagi.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...