26 Januari 2012

Isu pokok ialah pinjaman mudah kepada NFCorp- Saifuddin


KUALA LUMPUR 25 Jan: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata, soal pokok dalam isu penyelewengan Pusat Fidlot Nasional (NFC) ialah pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1.
Manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya suami dan anak-anak Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Keluarga Shahrizat, katanya turut memiliki kepentingan 100 peratus dalam syarikat National Livestock and Meat Corp Sdn Bhd (NLMC), dan Asian Bioscience Corp Sdn Bhd (ABC).
“Melalui NLMC ini pula, puluhan juta dana NFC disalur ke Restoran Mewah milik keluarga Shahrizat iaitu Real Food company Sdn Bhd,” kata beliau kepada keadilandaily.com.
Melalui NLMC ini juga katanya, dana NFC disalur untuk membeli kondominium mewah di Bangsar dan perbelanjaan lain seperti didedahkan KEADILAN sebelum ini.

“Penyaluran dana ini merupakan pecah amanah kerana ia tiada kaitan dengan tujuan dana NFC iaitu berkaitan projek penternakan Lembu,” katanya.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mengakui Pusat Fidlot Nasional mempunyai banyak kelemahan memandangkan kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan pada Mei 2009.Ambrin juga berkata, audit yang dijalankan itu juga memfokuskan ke atas projek NFC dan bukannya NFCorp.

Sebelum ini KEADILAN tampil mendedahkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan NFCorp.
Antaranya membeli kondominium elit di Kuala Lumpur dan Singapura berharga RM23 juta, membeli tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah Mercedez Benz, membayar keahlian kelab golf dan pelbagai transaksi meragukan.

Terbaru, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat pada 2009.
Selain Muhyiddin, turut terlibat dalam skandal ini, Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Projek Impak Tinggi yang melulus projek seumpama itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...