30 November 2011

RANG UNDANG-UNDANG DENGAN ENAM PINDAAN -BACA

Dewan Rakyat lulus RUU Perhimpunan Aman dengan enam pindaan

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2001 yang kontroversi diluluskan petang ini dengan enam pindaan manakala ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat selepas pentadbiran Najib enggan menarik balik rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan enam pindaan telah dilakukan yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dengan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam.

Antara lain usul pindaan berkenaan membabitkan Fasal 9(1) untuk meminda tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 kepada 10 hari.

Selain itu, Fasal 12(1) rang undang-undang itu turut dipinda bagi memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak berkepentingan berhubung perhimpunan berkenaan dari 48 jam kepada 24 jam.

Turut dipinda adalah membabitkan Fasal 12(2) bagi tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan dari lima hari kepada 24 jam.

Tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan dari 12 hari kepada lima hari seperti yang dinyatakan pada pindaan ke atas Fasal 14.

Pindaan terhadap Fasal 15, membolehkan polis mengenakan sekatan ke atas pelbagai aspek perhimpunan termasuk masa dan tempat demi keselamatan atau ketenteraman awam bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.

Pindaan ke atas Fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.

Rang Undang-undang itu dibacakan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 November lepas.

Bacaan kali pertama pada 22 November oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar).

Laporan Bernama Online menyebut, ketika sesi perbahasan, anggota parlimen pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut kerajaan menarik balik Rang undang-undang itu dan meminta supaya Jawatankuasa Khas Parlimen meneliti semula rang undang-undang berkenaan.

Ketika menggulung perbahasan, Nazri berkata apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata.

“Berkaitan dengan notis (makluman perhimpunan) pula, Ketua Pembangkang (Anwar) dalam perbahasan merujuk kepada memorandum atau satu draf rang undang-undang disediakan oleh Majlis Peguam. Majlis Peguam tak setuju dengan notis. Tapi, apa yang menghairankan, ketika berhimpun pagi tadi (depan bangunan Parlimen), dia (Majlis Peguam) dah bagi notis. Kita (kerajaan) bagi notis, dia marah pula.

“Kalau tidak suka beri notis, mengapa perlu beri notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan tadi? Satu Malaysia tahu. Maknanya, mereka mahu perlindungan polis kalau ada usaha provokasi kumpulan lain.

“Oleh itu, beri notis ini bukan hendak sekat tetapi hendak jaga mereka. Memang dulu 30 hari dan turun kepada 10 hari. Ini tunjukkan kita dengar pandangan rakyat,” katanya.

Nazri berkata undang-undang sedia ada di negara luar memperuntukkan tempoh masa yang berbeza mengenai pemakluman notis kepada pihak berkuasa.

“Dalam perkara ini, fasal 9(1) hendaklah dibaca dengan fasal 14 iaitu polis perlu beri respons dalam masa lima hari. Jika polis gagal beri respons, hendaklah diteruskan (perhimpunan). Jadi, buatlah. Apa yang masalahnya?

“Dalam masa lima hari, ada perkara-perkara tertentu perlu dilakukan seperti perjumpaan dengan polis hendaklah dilakukan. Ini tadi Bagan (Lim Guan Eng, DAP-Bagan) merayu dan merintih... kata di Pulau Pinang tiap-tiap minggu ada perhimpunan haram. Inilah yang kita hendak bantu. Sebab itu perlu bagi notis. Dia cakap tapi tikam diri sendiri,” katanya -tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...