08 September 2011

Pelaksanaan hak wanita di Pulau Pinang lebih baik sekarang

GORGETOWN, 8 SEPT – Berbanding dengan lebih 50 tahun Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, DAP bersama Pakatan Rakyat telah banyak meningkatkan hak kesaksamaan jantina di dalam semua sektor kehidupan.

Ketua Wanita DAP Kebangsaan Chong Eng berkata, sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang, exco-exco wanita dalam BN sendiri tidak memahami isu-isu kewanitaan, apatah lagi mengajar tentang hak kesaksamaan jantina.

“Mereka hanya menumpukan pada program-program yang bersifat remeh sahaja. Lebih teruk lagi, program dan expo wanita yang diadakan waktu BN perintah bertujuan untuk menjual produk bagi wanita, bukannya hendak mempertingkatkan kefahaman hak-hak wanita atau kesaksamaan jantina,” katanya kepada Roketkini.

Sejak mendapat mandat rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan telah melantik dua wanita sebagai Yang Dipertua Majlis, iaitu Patahiyah Ismail untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Maimunah Mohd Sharif untuk Majlis Perbandaran Seberang Perai, kedua-duanya penghormatan untuk wanita buat kali pertama di negara ini.

Jelas Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang itu telah membuka mata wanita di peringkat akar umbi bahawa wanita juga berkebolehan, berkemahiran dan mampu mentadbir.

Tambah beliau, selain menambahkan jumlah wanita dalam penjawat awam, Pakatan perlu menghala kepada mengarusperdanakan peranan dan pemahaman rakyat terhadap kesaksamaan jantina.

Walau bagaimana pun, beliau berkata isu kuota wanita dalam penjawat awam bukanlah matlamat mutakhir dalam isu kesaksamaan jantina.

“Kita tidak mahu berlegar tentang isu kuota wanita dalam penjawatan awam sahaja, tetapi kita sedang menanam dasar yang menekankan bahawa seseorang yang dipilih, tidak kira lelaki atau wanita, harus tahu dan faham tentang kesaksamaan jantina dalam pentadbiran,” katanya.

Chong Eng berkata, usaha untuk memperkenal dan meningkatkan pengetahuan rakyat tentang kesaksamaan jantina ini memerlukan tempoh masa panjang dan tidak mungkin dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek.

Jelas beliau, walau pun Pakatan sudah bermula mengupayakan wanita di Pulau Pinang, tetapi bukan bermakna ianya sudah berjaya kerana proses ini mengambil masa dan perlu berterusan.

“Perkara sebegini tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh seseorang individu sahaja. Kita perlukan bajet yang secukupnya, polisi yang kukuh, program mantap, untuk memupuk pemahaman rakyat terhadap kesaksamaan jantina,” katanya.

Lantaran daripada itu, Chong Eng telah menubuh dan menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan yang memberi nasihat dalam pelaksanaan polisi dan idea-idea dalam melaksanakan kesaksamaan jantina.

NGO ini dimanakan Persatuan Untuk Tadbir Urus Baik dan Kesaksamaan Gender Pulau Pinang (3Gs). – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...