15 Februari 2011

Terima dasar kami jika mahu ‘kongsi’ kerusi, kata PKR

Oleh Shazwan Mustafa Kamal dan Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 15 Feb — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya akan mempertimbangkan calon-calon daripada kumpulan bukan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka bersedia menerima dasar-dasar perikatan itu, kata timbalan presidennya Azmin Ali semalam.

Kata beliau, PKR terbuka kepada calon-calon yang dinamakan oleh pelbagai pertubuhan seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), malah sedia memberi Parti Sosialis Malaysia (PSM) lebih banyak kerusi jika mereka bersedia untuk menerima arahan whip perikatan.

“Kita boleh berbincang dengan mereka. Tetapi jika mereka masih mahu menjadi bebas, apa gunanya?” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak ketika ditanya mengenai kesediaan MCLM menawarkan seramai 30 calon kepada PKR bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Jika dipilih, MCLM berkata, calon-calonnnya akan memutuskan isu berdasarkan pada suara hati mereka berbanding konsensus perikatan. Ia hanya akan menawarkan calon kepada PKR, bukan kepada DAP dan PAS.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya berkata kepimpinan tertinggi PKR termasuk ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan mesyuarat dengan PSM hujung minggu lalu untuk membincangkan peruntukan kerusi pilihan raya umum ke-13.

“Mereka setia kepada kami, berbanding dengan mereka lari dan berpaling tadah.

“Jadi, kami tiada masalah memberikan mereka dua lagi kerusi selagi mereka bersedia untuk berdiri bersama kami,” kata beliau.

PSM telah bertanding dengan menggunakan logo PKR pada pilihan raya 2004 dan 2008.

Daripada empat calon diletakkan PSM pada 8 Mac 2008, dua daripada mereka memenangi kerusi. Mereka ialah Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang menang di Sungai Siput untuk muncul Ahli Parlimen pertama PSM manakala presiden parti Dr Nasir Hashim pula menang di Kota Damansara, Selangor.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli juga mengakui pihaknya mengambil sikap waspada dalam menerima calon-calon yang ditawarkan oleh MCLM kerana mahu mengelakkan “kesilapan” yang dialami tiga tahun lalu ketika menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Menurut Rafizi, sementara partinya “terbuka” kepada tawaran MCLM dan menerima kritikan pergerakan itu terhadap partinya, komponen Pakatan Rakyat itu akan membuat pilihan sendiri dan akan memilih ahli-ahlinya yang ada pengalaman selaku pemimpin akar umbi.

“Sementara kami terbuka kepada cadangan, calon-calon (yang dipilih) mesti menerima perjuangan kami.

“Kami, parti politik yang mempunyai struktur dan peraturan. Kami sudah pun melalui pengalaman 'katak-katak' (yang keluar) sebelum ini, yang kurang berpengalaman dan mereka melompat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam temu bual berasingan.

Sehubungan itu tegas Rafizi, “apa yang kurang ialah sikap menghargai perjuangan parti.”

Sejak Mac 2008 PKR berhadapan dengan tindakan wakil rakyat kedua-dua peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang keluar parti.

PKR sudah kehilangan enam ahli Parlimen dalam tempoh setahun lalu. Ahli Parlimen terbaru keluar PKR ialah Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan.

“Kami mesti berhati-hati. Kami kena pastikan ia tidak berulang buat kali kedua,” kata beliau lagi.

Oleh itu katanya, apabila MCLM tampil dengan cadangan bakal calon, “kami gembira untuk bekerja dan membincangkannya.”

“Tetapi, sekali lagi, calon-calon ini mestilah ahli parti kami, memahami perjuangan kami, mematuhi disiplin parti, jika tidak kita kembali kepada keadaan asal,” kata Rafizi.

Rafizi juga berkata, ada keraguan di kalangan ahli parti sama ada calon yang dikemukakan MCLM boleh bekerja di peringkat akar umbi mengambil kira latar belakang.

MCLM menegaskan bahawa pihaknya mahu membantu Pakatan Rakyat mendapatkan balik momentum semasa pilihan raya umum ke-13. Pergerakan itu bercadang untuk menawarkan 30 calon untuk dipertimbangkan oleh barisan perikatan itu.

Bagaimanapun usaha MCLM menawakan calon bebas, yang diketuai presidennya Haris Ibrahim dianggap sesetengah pihak bahawa akan memecahbelahkan undi yang diperoleh Pakatan Rakyat dan akan menjejaskan usaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia telah mengumumkan empat nama setakat ini dan difahamkan mempunyai 18 lagi dalam pertimbangan.

Azmin juga berkata jika dibandingkan dengan 2008, parti kini mempunyai ramai calon-calon yang berwibawa memandangkan mereka sedia dan berminat untuk bertanding di bawah tiket pembangkang.

“Sebelum pilihan raya 2008, kami tidak boleh mendapatkan calon sebab rakyat bimbang dan kami pula parti kecil dengan hanya seorang ahli Parlimen,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...