15 Februari 2011

Saman dari Syabas tidak ubah pendirian kerajaan S’ngor- Khalid Ibrahim

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua akan berdepan saman yang dikemukakan Syarikat Bekalan Air Selangor Syabas berhubung kenyataan mereka yang meminta syarikat itu memulangkan hak bekalan air percuma kepada rakyat Selangor.

Khalid dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima dokumen saman tersebut hari ini dan telah melantik dua peguam bagi mengendalikan kes itu iaitu Edmund Bon dan Gobind Singh Deo.

“Namun, saman ini tidak mengubah pendirian kami terhadap isu Tabung Budi. SYABAS tidak mempunyai hak untuk meminta penguna-penguna menyerah dana kepada SYABAS kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian 20 meter padu air percuma.

“Tindakan SYABAS juga turut menimbulkan kekeliruan dan persoalan kerana proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi-konsesi air masih belum selesai,” kata Khalid.

Menurut Khalid, perjanjian terhadap empat buah konsensi air akan ditamatkan bagi memastikan bekalan air yang lebih efektif dengan harga yang berpatutan dapat diberikan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri juga masih berpendapat penjanjian konsesi kepada empat buah syarikat termasuk SYABAS perlu ditamatkan supaya boleh diambil alih sepenuhnya oleh Selangor demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Ekoran penerimaan surat saman tersebut, beliau mengarahkan Pegawal Selia Air menghantar surat maklum balas kepada SYABAS supaya pembiayaan guaman kes ini dibayar oleh pengarah-pengarah dan individu yang terlibat dan bukan oleh syarikat itu.

“Syarikat tidak perlu dibelengu oleh bayaran guaman untuk kes yang jelas tidak ada kena mengena dengan fungsi SYABAS sebagai pembekal air bersih kepada rakyat Selangor,” ujarnya.

Khalid menyeru kepada semua wakil Pakatan Rakyat Selangor bersiap sedia untuk terus berusaha bagi mengembalikan hak air kepada rakyat selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...