23 Februari 2011

Gempa New Zealand 65 terbunuh, pelajar Malaysia selamat

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Pelajar Malaysia di Christchurch, bandar raya kedua terbesar di New Zealand yang dilanda gempa bumi berskala 7.3 hari ini hanya dapat berhubungan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Keadaan di bandar raya ini (Christchurch) agak teruk dengan 65 kematian dilaporkan setakat ini. Hubungan telefon tidak berapa baik, sukar menghubungi orang lain, kami hanya dapat menghantar SMS,” kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury (CMSA), Poh Eng Eu kepada Bernama melalui e-mel.

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata rumah yang didiaminya turut bergegar.

Terdapat sejumlah masyarakat Malaysia di Christchurch.

Poh berkata selepas gempa berlaku, beliau dihujani dengan panggilan telefon dan SMS daripada ahli keluarga dan sanak-saudara pelajar dari Malaysia dan negara lain.

Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar di Christchurch dilaporkan selamat.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata pegawai di Kedutaan Malaysia di Wellington telah diarahkan ke Christchurch untuk memantau keadaan dan membuka bilik gerakan di sana.

“Pegawai dari Wisma Putra juga sudah diarahkan berbuat demikian. Kita akan membuka pusat operasi dan talian juga akan dibuka bagi membolehkan kita mendapat maklumat dari semasa ke semasa dari mereka yang berada di sana,” katanya kepada Bernama.

Beliau memaklumkan pelajar Malaysia mengikuti pengajian di tiga universiti di Christchurch iaitu Canterbury, Universiti Otago dan Lincoln. — Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...