25 Februari 2011

BETAPA BAIKNYA RAKYAT MALAYSIA!

Mubarak, Taib Mahmud dan 2Malaysia

Ooi Heng | Feb 24,

Banyak penulisan telah menyentuh pergolakan di Tunisia dan Mesir yang telah menggegarkan dunia. Lakaran popular hari ini adalah kebangkitan atau pemberontakan rakyat sebagai suatu manifestasi pendemokrasian dalam dunia Islam dan Arab.
Sumber: Reuters

Seterusnya, pemimpin Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim yang sering menjadi sasaran fitnah politik menyifatkan terdapat persamaan yang jelas dari segi sistem antara Malaysia dan Mesir walaupun dari segi ekonominya agak berbeza.

Sementara itu, kolumnis Merdeka Review Mustafa K Anuar yang banyak memberi inspirasi dan kekuatan kepada lepasan sarjana-sarjana muda serta sarjana-sarjana komunikasi telah menyimpulkan persamaan-persamaan antara rejim Tunisia dan rejim Mesir yang juga merupakan ciri-ciri negatif sebilangan rejim dunia Islam dan Arab secara padat.

"Kedua-dua rejim ini mempunyai persamaan yang dibenci rakyat mereka: ketidakadilan; penyalahgunaan kuasa; keangkuhan; rasuah; tamak haloba; kronisme; 'rompakan' kekayaan negara; kekerasan rejim; kezaliman terhadap rakyat mereka sendiri; jurang antara kaya dan miskin yang membesar; pengangguran; dan pencabulan hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara."

Sesungguhnya, ciri-ciri negatif tersebut bukan sahaja dikongsi sama oleh sebilangan rejim dunia Islam dan Arab, malahan sebilangan rejim rantau Asia juga dicorakkan oleh sifat sebegitu rupa. Antara yang terkenal dalam rantau ini ialah bekas Presiden Taiwan Chen Shui-bian yang telah disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menggelapkan dana negara, penggubahan wang haram, menerima rasuah dan memalsukan dokumen.

Kebangkitan rakyat di Taiwan

Tindakan mahkamah terhadap bekas Presiden Taiwan tidak berhenti setakat itu. Hukuman penjara turut dijatuhkan terhadap bekas "Wanita Pertama" Taiwan Wu Shu-chen, yakni isteri Chen Shui-bian. Pendedahan skandal korup Presiden Taiwan dan keluarganya juga menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat termasuk demonstrasi besar-besaran mengepung Balai Peringatan Chiang Kai-shek oleh ratusan ribu rakyat Taiwan.

Taiwan bukan satu-satunya negara dalam rantau Asia di mana rejim pemerintahnya terlibat dengan kegiatan "menggelapkan dana negara, penggubahan wang haram, menerima rasuah dan memalsukan dokumen." Kedua-dua rejim China dan Malaysia turut disyaki terlibat dengan sesetengah kegiatan yang masih menanti siasatan bagi membuktikan kesahihannya.

Berdasarkan laporan badan pengawas kewangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Global Financial Integrity (GFI) baru-baru ini, aliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion (AS$22.2 bilion) yang, lapan tahun kemudian, melonjak kepada RM208 bilion (AS$68.2 bilion). Secara total, RM888 bilion (AS$291 bilion) telah direkodkan sepanjang tahun 2000 dan 2008.

GFI mendefinisikan aliran keluar wang haram sebagai pemindahan wang yang dijana menerusi aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, aktiviti jenayah dan usaha mengelak cukai ke atas kejayaan diperoleh. Malaysia berada di tempat kelima dalam senarai tersebut sementara China berada dalam di tangga teratas.

Definisi aliran keluar wang haram GFI agak mirip dengan kesalahan yang disabit oleh bekas Presiden Taiwan yang didakwa menggelapkan sejumlah T$104 juta (RM11.1 juta) dari sebuah dana khas Pejabat Presiden Taiwan, menerima rasuah sebanyak T$9 juta (RM1 juta) berkaitan dengan perjanjian pemilikan tanah dan mendapatkan sejumlah T$2.73 juta (RM0.3 juta) lagi sebagai balasan kerana membantu seorang kontraktor memenangi bidaan dalam satu projek kerajaan.

Di Malaysia pula...

Yang menarik sekali ialah perkembangan terbaru di Malaysia berdasarkan laporan pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Switzerland, Tabung Bruno Manser (BMF), yang telah mengeluarkan senarai 49 firma di empat benua di seluruh dunia yang didakwanya berkaitan dengan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud dan keluarganya.

Senarai itu termasuk 13 syarikat di Malaysia, 10 di Australia, sembilan di Kanada, tujuh di Hong Kong, empat di Amerika Syarikat, tiga di British Virgin Islands, satu di pulau Jersey dan dua lagi di United Kingdom.

Kini persoalannya adalah, mungkinkah Taib Mahmud (gambar kiri) terlibat dalam penggubahan wang haram? Mungkinkah Taib Mahmud terlibat dengan skandal aliran keluar wang haram dari Malaysia berjumlah RM888 bilion (AS$291 bilion) yang direkodkan sepanjang tahun 2000 dan 2008? Siapa lagi dalam kalangan rejim pemerintah yang terlibat dengan skandal sebegitu besar?

Kini jelas bahawa terdapat persamaan antara rejim Tunisia, Mesir, Taiwan dan Malaysia apabila merujuk kepada pemimpin tertentu. Yang tidak jelas ialah, apakah penjelasan rejim pemerintah Malaysia berhubung dakwaan GFI dan BMF? Apa pula reaksi rakyat terhadap skandal yang sebegitu besar?

Menjejaki bumi 2Malaysia, umum sedia maklum bahawa wujud dua dunia di mana semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dalam "dunia pertama" tetapi wujud segolongan manusia yang "more equal than others" dalam satu dunia lagi atau "dunia kedua". Sesiapa yang pernah membaca karya Goerge Orwell "Animal Farm" atau menonton filem animasi tersebut, pasti faham selok-belok kewujudan bumi 2Malaysia!

Dalam kalangan manusia yang menetap dalam "dunia pertama", masyarakat pribumi dan Orang asal Sarawak merupakan kumpulan manusia yang paling memahami selok-belok kewujudan bumi 2Malaysia kerana mereka telah berdekad-dekad menjalani kehidupan perit akibat keagungan rejim Taib Mahmud yang tidak boleh dicabar selama ini seperti rejim Hosni Mubarak yang bersifat kuku besi pemerintahannya.

Cukup banyak laporan dan pendedahan melibatkan rejim Taib Mahmud yang dikemukakan dalam laman web SarawakReport, namun sehingga hari ini tiada tindakan siasatan diambil oleh pihak berkaitan dan kerajaan hari ini. Tiada juga laporan siasatan dikemukakan bagi menafikan segala dakwaan serius yang dibangkitkan dalam laporan-laporan SarawakReport!

Begitu juga, pendedahan yang melibatkan rejim Mahathir sepanjang pemerintahannya tidak diambil tindakan serius oleh pihak berkaitan dan kerajaan hari ini. Masih ingatkah buku tulisan Barry Wain bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times" (gambar kanan) yang menimbulkan kontroversi kerana dakwaan-dakwaan dalam buku tersebut melibatkan rejim Mahathir dengan beberapa skandal?

Sebagai rakyat bumi 2Malaysia, kita telah menyaksikan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji kandungan buku tulisan Barry Wain sebelum membuat keputusan tentang pengedaran buku itu dalam pasaran buku bumi 2Malaysia, tetapi kita tidak berpeluang menyaksikan tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa yang lain bagi membuktikan atau menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.

Antara skandal yang dibangkitkan dalam buku tulisan Barry Wain termasuk skandal Bank Bumiputra. Ramai yang tertanya-tanya dan ingin tahu mengapa sebuah bank yang telah ditubuhkan bertujuan membangunkan Bumiputera akhirnya memberi bantuan yang luar biasa kepada sebuah syarikat hartanah di Hong Kong? Apakah penjelasan rejim pemerintah yang kononnya membela kepentingan Melayu dalam hal ini?

Tahun 1970-an, Bumiputra Malaysian Finance Ltd (BMF), sebuah syarikat subsidiari Bank Bumiputra di bawah Kumpulan Carrian telah malabur di pasaran saham Hong Kong dan mengalami kerugian amat besar akibat spekulasi pemulangan Hong Kong kepada China. Kumpulan Carrian membuat pinjaman besar-besaran daripada BMF.

Kerugian RM973.6 juta pada tahun 1983 ketika krisis Bank Bumiputra merupakan satu jumlah kerugian yang terbesar dalam sejarah sistem perbankan di Malaysia. Menurut kajian KPRU, penyelamatan kerajaan ke atas Bank Bumupitra dalam tempoh 15 tahun dijangka menelan perbelanjaan sejumlah RM16.2 bilion seperti berikut:

Banyak lagi skandal dan kes yang melibatkan kegiatan "menggelapkan dana negara, penggubahan wang haram, menerima rasuah dan memalsukan dokumen" atau salah urus dana kewangan telah dibangkitkan sama ada dalam buku tulisan Barry Wain, laporan-laporan SarawakReport atau laporan-laporan Ketua Audit Negara, namun sehingga hari ini, rejim bumi 2Malaysia tetap angkuh dan tetap menafikan segala-galanya!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...