16 Januari 2015

KEDAH FA TIADA HAK KEPADA GARY STEVEN WALAUPUN DILAHIRKAN DI KULIM, BELIAU DIGANTUNG 3 BULAN OLEH FAM


Gary Steven Robbat digantung tiga bulan

Kelana Jaya: Kontroversi perebutan Gary Steven Robbat dengan pasukan Kedah, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan Pahang berakhir apabila pemain tengah berusia 22 tahun itu digantung tiga bulan dan denda RM50,000 selepas Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan dia bersalah melanggar peraturan perpindahan pemain.

Gary yang tidak dibenarkan beraksi dalam sebarang kejohanan berkuat-kuasa hari ini juga tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontrak yang ditandatangani bersama Johor DT dan Pahang sebelum 1 Disember 2014 tidak sah.


Manakala Kedah juga tidak berhak untuk memiliki bekas pemain Harimau Muda A kelahiran Kulim itu selepas FAM mendapati dia memulakan karier bola sepak bersama Harimau Muda C.

Sementara itu, Johor DT pula didenda RM100,000 kerana kecuaian dalam urusan perpindahan pemain namun Pahang hanya dikenakan amaran keras.

Dalam satu lagi kes, Mohd Faizol Hussien terpaksa membayar RM130,000 kepada Pahang sebagai tebus kontrak untuk menyertai Johor DT II.


Gary Steven Robbat Milik Kedah - Presiden KFA


Alor Setar - Peraturan FAM adalah jelas di mana ia menghendaki mana-mana pemain Harimau Muda yang telah tamat kontrak perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran masing-masing.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato' Seri Haji Mukriz Tun Mahathir berkata, KFA berpendapat bekas pemain Harimau Muda yang berasal dari Kulim Gary Steven Robbat milik Kedah dan mahu beliau kembali ke negerinya.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berniat menyusahkan mana-mana pihak dalam isu pemain itu , tetapi ia hanya mematuhi peraturan yang dirangka sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Apa yang telah berlaku sangat-sangat kita kesali, kerana kita (KFA) bukan bertujuan hendak menyusahkan mana-mana pihak tetapi peraturan itu diwujudkan oleh FAM sendiri, jadi bukan kita hendak pandai-pandai tambah peraturan tetapi ini peraturan FAM," katanya.

Beliau mengesyorkan supaya Gary kembali ke Kedah dan mengadakan perbincangan dengan persatuan negeri.

Beliau berharap Gary dan KFA dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik kerana Kedah amat memerlukan kehebatannya untuk kebaikan pasukan negeri yang bertanding dalam kancah Liga Perdana tahun ini.

Mukhriz berkata beliau amat kesal dengan laporan media mengatakan Gary berlatih dengan pasukan JDT serta muncul dalam majlis memperkenalkan pemain-pemain JDT musim ini baru-baru ini.

"Walhal kita tidak pernah mengeluarkan surat perlepasan (kepada Gary)," katanya.

Walaupun begitu, katanya, KFA masih belum menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan kemelut yang menyelubungi isu Gary dan bersedia untuk berkompromi.

"Walaupun begitu kita masih boleh berkompromi, tetapi itu bergantung kepada rundingan. Tetapi setakat ini, tiada perbincangan mengenai perkara itu," katanya.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...