02 Ogos 2014

PERJANJIAN AIR, KEMENANGAN RAKYAT SELANGOR

Majlis Menandatangani "Heads Of Agreement" Pelaksanaan MoU Antara Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri Selangor Berhubung Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Selangor. - Foto ihsan FB Khalid Ibrahim

Perjanjian air, kemenangan rakyat Selangor

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan termeterainya Perjanjian Dasar Induk antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sebagai satu kemenangan besar buat rakyat negeri itu.

Menurutnya, penandatanganan Perjanjian Antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor hari ini adalah untuk memuktamadkan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Air Selangor dan pembinaan Projek Langat 2.

“Dengan termeterainya "Heads of Agreement" ini menandakan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor yang telah diusahakan semenjak 2006 sudah hampir ke penghujungnya dan mencapai kejayaan.

“Ini merupakan satu kemenangan besar kepada rakyat Selangor dan Malaysia yang selama ini menyokong penuh usaha-usaha kerajaan negeri untuk mengambil alih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi air dan mengembalikan semula hak air kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam majlis menandatangani perjanjian itu, kerajaan Persekutuan diwakili oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Abdul Khalid juga menyebut bahawa tawaran RM9.65 billion yang diberikan kepada pihak konsesi adalah adil dan munasabah tanpa merugikan syarikat-syarikat yang terlibat

“Kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan tawaran pengambilalihan kesemua syarikat konsesi air.

“Setakat ini hanya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (Splash) sahaja yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Jelasnya, penyelesaian secara holistik ini akan memberi perkhidmatan air yang lebih cekap dengan kadar tarif yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

“Kejayaan mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34%.

“Manakala kejayaan mengambil alih semua loji rawatan air (WTP) akan membolehkan kita melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan mengguna pakai teknologi terkini.

“Selain daripada itu, kejayaan pembinaan terowong bawah tanah bagi mengalirkan air dari Pahang ke Sungai Langat dan memindahkannya ke Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akan menamatkan masalah kekurangan air mentah di kedua-dua sungai tersebut,” katanya.



Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat setuju dengan perjanjian air

March 7, 2014


Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi yang turut dihadiri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.




KAJANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sudah berjaya meyakinkan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk meneruskan penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi yang turut dihadiri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, dan mereka bersetuju dengan langkah itu.

“Malam tadi saya berbincang dengan kepimpinan Pakatan Rakyat, mereka bersetuju untuk perkara ini diteruskan walaupun ada kecurigaan tentang tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

“Bagaimanapun penstrukturan semula itu mesti diselaraskan untuk menjamin rakyat Selangor mendapat manfaat terbaik daripada usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kemahiran Teknikal Belia Luar Bandar dan
Program Pemberian Insentif Bas Sekolah Kepada Anak-anak Kampung Daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Anwar yang juga calon PKR untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, sebelum ini mahu Abdul Khalid menangguhkan dahulu perjanjian berhubung pembinaan loji rawatan air Langat 2 selagi kepimpinan negeri dan Pakatan Rakyat tidak diberikan penjelasan sepenuhnya.

Perlu berbincang

Anwar berkata Abdul Khalid perlu berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat dan mengambil kira pandangan sebulat suara sebelum membuat keputusan terutama membabitkan soal kepentingan rakyat.

Minggu lepas, kerajaan Persekutuan dan Selangor telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelaksanaan projek loji rawatan air Langat 2 dan pengambilalihan aset air di negeri itu.

Dalam perjanjian itu, kerajaan persekutuan bersetuju membenarkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan pampasan RM9.65 bilion.

Dalam pada itu, Abdul Khalid, yang juga pengarah PRK Kajang untuk Pakatan Rakyat, menolak sama sekali dakwaan yang mengatakan beliau telah menerima surat berhubung peralihan kuasa menteri besar kepada Anwar sekiranya calon PKR memenangi kerusi Kajang.

Ditanya sama ada surat itu sampai di pejabat menteri besar, Abdul Khalid berkata: “Saya sama sekali tidak akan menandatangani surat tersebut”.

Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...