11 Ogos 2014

BN jual lebih tiga ribu ekar tanah negeri ketika mentadbir Pulau Pinang


BN jual lebih tiga ribu ekar tanah negeri ketika mentadbir Pulau Pinang



GEORGE TOWN, 10 OGOS: Kerajaan Pulau Pinang menyangkal tuduhan bahawa mereka bergantung semata-mata pada penjualan tanah negeri untuk menjana pendapatan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Lim Hock Seng berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali, malah BN sebenarnya yang telah menjual 35 kali lebih banyak tanah daripada Pakatan Rakyat (PR) semasa mentadbir negeri.

“BN telah menjual 35 kali ganda tanah, sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dengan pulangan RM1.0586 bilion berbanding PR menerusi tender terbuka yang kompetitif iaitu hanya 106.1 ekar untuk pulangan tinggi sebanyak RM1.1102 bilion.

“Walaupun BN menjual lebih banyak tanah, PR mendapat lebih banyak wang kerana jualan tanah telah dijalankan melalui tender terbuka, kerana itulah kami mendapat mandat besar dalam sejarah Pulau Pinang dengan 68 peratus undi popular pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lalu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas Adun Bagan Jermal itu lagi, hasil jualan tanah tersebut telah diperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk tabung Skim Perumahan Mampu Milik Awam (PAHS) bagi membina lebih 20,000 unit rumah mampu milik di 5 daerah di Pulau Pinang.

“RM500 juta dana PAHS merupakan yang terbesar daripada mana-mana kerajaan negeri di Malaysia. Kami juga bersedia untuk menambah peruntukan jika perlu,” ujarnya.

Mengikut perangkaan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, jualan tanah BN semasa mentadbir sebanyak 3,661 ekar itu merangkumi 980 ekar di Tanjong Tokong (RM42.7 juta), 325 ekar di Jelutong Expressway (RM325 juta), 750 ekar di Batu Kawan untuk Abad Naluri (RM106 juta) dan 1606 ekar di Butterworth kepada Rayston Consortium Sdn Bhd (RM584.9 juta) dari awal 90an sehingga 2008. -Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...