27 Februari 2014

PANAS! MACAMANA ANAK JERUNG BOLEH SANGKUT DIJARING, SEDANGKAN BAPAKNYA TERLEPAS ..?


Michael Chia bersalah, siapa di belakangnya - Rafizi




KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengalu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengenai hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia.

Katanya, kes yang membabitkan permit membalak di Sabah itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.

“Kejayaan pendakwaan terhadap Michael Chia itu membuktikan bahawa SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan yang berjaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Micheal Chia dihukum penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan semalam selepas disabitkan bersalah dalam skandal menipu melibatkan wang RM2.5 juta 10 tahun lalu.


Rafizi berkata, hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya.

Menurutnya, Michael Chia tidak mempunyai apa-apa pengaruh atau jawatan di dalam kerajaan, maka dia sendiri tidak ada kuasa untuk memberikan permit membalak.

“Hakikatnya dia boleh mengutip wang dari syarikat-syarikat balak memberi gambaran bahawa syarikat dan pengusaha balak tahu bahawa dia menjadi orang tengah bagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan pemberian permit balak,” ujarnya lagi.

Sebab itu, kata Rafizi keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, fakta kes sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat dari ICAC di Hong Kong menunjukkan bahawa memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

Dengan keputusan bersalah itu, beliau menyeru supaya SPRM membuka kembali siasatan terhadap Datuk Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat-syarikat balak kerana bukti-bukti pemindahan wang melibatkan Michael Chia sendiri

“Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia, terutamanya apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini,” ujarnya.

Apatah lagi, ujar beliau apabila Nazri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu.

Menurutnya lagi, walaupun keputusan terhadap Michael Chia itu adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.

“Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...