24 Februari 2014

HARGA BERAS DUNIA MERUDUM, BERNAS & KERAJAAN PERLU TURUNKAN HARGA BERAS SEGERA!!!



Harga beras wajar turun


Gooi Hsiao Leung

ALOR SETAR - Harga runcit beras di pasaran wajar diturunkan bagi membantu meringankan beban rakyat memandangkan harga beras di pasaran antarabangsa mengalami penurunan ketara.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata, berdasarkan laporan agensi berita Reuters 19 Februari lalu, berjuta tan beras Thailand bakal dieksport ke pasaran antarabangsa akibat daripada penghapusan skim subsidi padi kerajaan Thailand, akhir bulan ini.

“Bawah skim subsidi padi Thailand, petani dibayar sebanyak 15,000 baht bagi setiap tan. Apabila skim subsidi ini dihapuskan, petani dijangka terpaksa menjual padi pada harga pasaran terbuka sekitar 8,000 hingga 9,000 baht iaitu 47 peratus lebih rendah,” katanya.

Menurutnya, petani Thailand juga terpaksa menjual padi pada harga rendah kerana kekurangan tangki simpanan beras kerajaan yang tidak membolehkan beras disimpan lama sehingga harga kembali pulih.

“Pengeksport Thai meramalkan penurunan harga beras hancur 5 peratus daripada USD375/tan (RM1,238/tan) kepada USD350/tan (RM1,155/tan), harga terendah dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.

Hsiao Leung berkata, pada masa sama India dan Vietnam juga bakal mengalami penurunan harga beras akibat daripada hasil tuaian yang tinggi.

“Saya yakin Malaysia sebagai negara pengimport beras bakal menikmati harga beras import yang lebih murah. Saya juga meramalkan keuntungan Bernas akan meningkat 40 peratus kepada RM165 juta berikutan penurunan harga beras antarabangsa, akibat pengeluaran berlebihan di Thailand, Vietnam, India dan Pakistan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya harga beras di pasaran tempatan tetap kekal pada paras lama, Bernas beroleh keuntungan besar yang akan memanfaatkan pemiliknya, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari.


“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam sidang Parlimen awal Mac ini, agar rakyat dapat memanfaatkan penurunan harga ini. Rakyat juga berhak mendapat harga istimewa ini, bukan hanya pengimport beras,” katanya.

Hsiao Leung berkata, walaupun harga runcit beras berbeza mengikut gred ditetapkan, namun jika pengimport memperoleh harga rendah dan dapat mengurangkan kos, pembeli juga wajar memperoleh manfaat itu.

“Saya harap kerajaan ambil perhatian perkara ini. Jika harga barangan lain dinaikkan, apa salahnya harga beras diturunkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...