12 November 2013

ASTRO TIDAK WAJAR NAIK CAJ PAKEJ....



ASTRO tidak wajar naik caj pakej sedia ada

SHAH ALAM 12 NOV : Kenaikan caj yang dikenakan ASTRO adalah tidak wajar ekoran perkhidmatan yang ditawarkan tidak sepadan dengan harga yang perlu dibayar pelanggan.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata syarikat terbabit juga dlihat perlu menaiktaraf perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sebelum caj dinaikkan.

Katanya, siaran berulang dan gangguan perkhidmatan ketika hujan juga perlu diberi penambahbaikan kerana harga bayaran tidak setimpal dengan apa yang ditawarkan ASTRO.

“Kita anggap tindakan itu tidak wajar kerana menindas pengguna secara terus. Kebanyakan pengguna merungut kerana tidak mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan tidak sepadan dengan caj yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya berkata, kerajaan pusat juga perlu menamatkan monopoli ASTRO dan meluluskan lesen khidmat televisyen berbayar kepada syarikat lain.

Katanya, pelaksanaan itu bagi mewujudkan persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan seperti yang berlaku antara pembekal perkhidmatan komunikasi bagi membolehkan pengguna membuat pilihan.

“ASTRO sudah untung besar dan memonopoli pasaran. Jadi, tidak wajar caj perkhidmatan kepada pengguna dinaikkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan tegas bagi menghalang kenaikan itu dan pengguna juga diminta untuk tidak melanggan ASTRO sebagai tanda protes kepada syarikat terbabit.

Sebelum ini, ASTRO memaklumkan bakal mengenakan tambahan caj RM2 bagi pakej keluarga dan RM6 bagi pakej sukan, bermula 24 November ini.

-NFN-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...