15 September 2013

PAS tetap bersama dalam Pakatan Rakyat



ALOR SETAR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulamak Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri, kita masih tetap bersama.

"Insya Allah itulah yang ada dalam amalan poltik Islam. PAS paling berpengalaman sejak 1951,” ujarnya.

Tegasnya, PAS bertahaluf menuntut kemerdekaaan walau berbeza pandangan dengan Umno dan kemudiannya PAS menjadi pembangkang. Katanya, PAS juga pernah masuk menjadi kerajaan pada tahun 1970 dan PAS terlibat dalam penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974.

“Tahun 1978 kita dikeluarkan kerana krisis di Kelantan, bila kerajaan campurtangan dengan membuat darurat macam di Mesir sekarang, mereka ambil alih kerajaan.  “Kita ambil balik pada tahun 1990 bila kita bersama Semangat 46 pula,"jelasnya.


Kaji untuk tambah baik, bukan undur – TG Nik Aziz



 PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...