06 Ogos 2013

Mangsa Samun Maut Dilanggar Van Yang Dicuri


Mangsa samun maut diseret van

SERDANG: Seorang peniaga bazar Ramadan bukan saja disamun malah tindakannya cuba menghalang van dipandunya daripada dilarikan penyamun membawa padah apabila mangsa maut diseret beberapa meter.

Wanita berusia 50 tahun terbabit meninggal dunia di Hospital Serdang, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.35 malam itu ketika mangsa memandu van dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Serdang Raya, di sini. 

"Mangsa dan suaminya sebelum itu berniaga di bazar Ramadan kawasan Perindustrian Bukit Serdang. Selepas selesai berniaga, suaminya memandu kereta dan diekori mangsa yang memandu van dipenuhi muatan jualan dari arah belakang.

"Namun sebaik tiba di Jalan 6/3 Taman Serdang Raya, van dipandu mangsa dihalang sebuah kereta jenis Myvi berwarna putih dinaiki tiga lelaki. Seorang lelaki bersenjata parang turun dan menyamun mangsa," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian.
Abd Razak berkata, suspek merampas van berkenaan namun mangsa dipercayai cuba menghalang tindakan suspek menyebabkan mangsa dilanggar dan diseret beberapa meter. 

Tambahnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah manakala suspek melarikan diri bersama van mangsa.

"Mangsa dihantar ke Hospital Serdang namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Orang awam yang menyedari kejadian itu memaklumkan kepada suami mangsa," katanya.

Katanya lagi, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian termasuk meneliti beberapa rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa premis berhampiran lokasi kejadian itu.

Difahamkan, mayat mangsa akan dibedah siasat pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malaysia negara Selamat kata UMNO haramjadah!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...