02 Jun 2013

VIDEO Malu saya sebagai rakyat M'sia, polis bunuh suami saya...-SAKSIKAN


Pegawai Paul Low ‘salah cakap’ kata keluarga Dharmendran

Keluarga mendiang N. Dharmendran menyalahkan pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low “salah cakap” ketika menghubungi mereka bagi menawarkan bantuan berhubung kes kematian mendiang semasa dalam tahanan polis.

Isterinya, M. Marry berkata sekiranya pegawai berkenaan benar-benar ikhlas ingin membantu keluarganya, mereka boleh datang ke rumah tanpa perlu merahsiakan sebarang tindakan.

“Kalau nak bantu, datanglah rumah saya, bukan salah faham dengan Paul Low, orang yang cakap bagi pihak beliau itu salah cakap bukan kita salah faham,” tegas Marry ketika sidang media bersama Naib Presiden PKR N. Surendran di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Bukan cakap dalam telefon ... mahu semua ini semua lawyer tukar, secara rahsia,” tegasnya.

Keluarga Dharmendran, 31, mangsa kematian dalam lokap polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum ini berkata pihaknya dihubungi Ravendran daripada Pejabat Perdana Menteri dan mahu berjumpanya secara rahsia bagi berbincang berkenaan kematian Dharmendran tanpa melibatkan pengetahuan peguam mereka.

Kematian Dharmendran akibat dipukul, bukan penyakit semulajadi, kata pakar patologi


Kematian menyayat hati N. Dharmendran semasa dalam tahanan polis disahkan pakar perubatan forensik berpunca daripada akibat dipukul dan bukannya penyakit semulajadi.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng berdasarkan laporan bedah siasat percaya kematian Dharmendran, 31, berpunca daripada pukulan berterusan yang diterima mendiang, daripada objek tumpul, serta tidak menolak kemungkinan mangsa berada dalam keadaan bergari dan tidak berdaya mempertahankan diri ketika dipukul.

“Tiada penyakit semulajadi yang dijumpai dalam tubuhnya yang menyebabkan punca kematian ... bedah siasat mendapati mendiang mempunyai kesan lebam akibat objek tumpul di tubuhnya,” kata laporan yang diedarkan kepada media ketika sidang media oleh Naib Presiden PKR di sini.

“Kecederaan diakibatkan oleh objek tumpul dan kecedaraan juga adalah kesan baru,” kata laporan bedah siasat itu lagi.

Laporan berkenaan turut mendedahkan Dharmendran mempunyai 52 kesan kecederaan di seluruh tubuh badan termasuk juga kesan kecederaan akibat dawai kokot di kedua-dua cuping telinganya.

Peguam keluarga mendiang Dharmendran, N. Surendran, yang juga ahli Parlimen Padang Serai menegaskan, dengan dokumen laporan bedah siasat itu, mereka kini boleh mendakwa pegawai polis yang terlibat.

“Tiada yang dihukum setakat ini, hanya empat anggota polis dipindahkan tugas ... semua anggota polis yang dikenalpasti mesti ditahan serta merta, hari ini!” tegas Surendran ketika sidang media tersebut, dan menambah kes kematian Dhamendran adalah kejadian bunuh, dan pendakwaan harus dilaksanakan.

Ekoran kes kematian dalam tahanan tersebut, empat anggota polis, termasuk seorang pegawai, yang sebelum ini menyiasat kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras membabitkan N.Dharmendran, kini ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh sebelum ini dilaporkan berkata langkah itu bagi memudahkan laluan siasatan Bukit Aman berhubung kes kematian tahanan berkenaan di lokap.

Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lima lagi kes berlaku pada tahun ini.

Kematian Dharmendran adalah sebahagian daripada kes kematian membabitkan pihak polis, dan antara kes-kes lain yang mendapat tumpuan antaranya ialah Chang Chin Te awal tahun ini, A. Kugan dan R. Gunasegaran pada 2009, pembunuhan pelajar sekolah berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah pada 2010, dan pelbagai kes tembakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik daripada kedua-dua belah tanpa mengira jurang perbezaan juga menggesa pelaksanaan IPCMC bertujuan pembaharuan dalam pasukan polis sejak 2006. ~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...