10 Oktober 2012

Biro Politik PKR akan bincang kedudukan Faekah malam ini


Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin kembali menjadi kontroversi akibat memberi komen menjawab kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali baru-baru ini.

   Isu berkenaan dengan kedudukan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Biro Politik PKR malam ini.
Ekoran desakan daripada beberapa pemimpin PKR Selangor dan juga biro politik negeri baru-baru ini agar Faekah dipecat dari jawatannya berikutan komen kepada media menjawab kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, perkara ini terpaksa dibincangkan untuk meredakan keadaan.
Azmin Ali sebelum itu menyentuh kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak lagi menjadi menteri besar Selangor jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Sinar Harian Online melaporkan sumber memberitahu surat meminta agar Faekah diambil tindakan telah dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, semalam.
“Ya, surat sudah dihantar kepada lembaga disiplin menerusi Setiausaha Agung, jadi saya percaya bahawa pejabat Setiausaha Agung akan membawa perkara ini kepada Biro Politik untuk memutuskan sama ada lembaga disiplin perlu mengadakan siasatan atau sebaliknya.
“Kandungan surat ini meminta agar Faekah diambil tindakan disiplin... bentuk tindakan kita serahkan kepada pusat, walaupun ada yang meminta beliau dipecat (sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar),” kata sumber dipetik dari Sinar Harian Online.
Biro Politik dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kebiasaannya akan hadir.
Dalam sidang media baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kepimpinan parti itu menyerahkan sepenuhnya isu gesaan Faekah dipecat kepada Jawatankuasa Disiplin PKR  untuk dipertimbangkan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung pertikaian itu termasuk desakan yang dibuat Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah pada sidang media kelmarin.
“Saya tiada komen lanjut kerana perkara ini telah diusulkan kepada pihak terlibat untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin,” katanya.
Malah semalam, Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, beliau menyerahkan kepada Setiausaha Agung parti berhubung dengan isu kedudukan Faekah.
Isu berkenaan dengan pemecatan Faekah telah lama dibangkitkan akan tetapi isu tersebut reda seketika.
Namun begitu baru-baru ini Faekah kembali diserang akibat daripada tindakannya mengkritik Azmin secara terbuka. -TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...