31 Januari 2012

Lebuh raya Banting-Taiping – satu lagi skandal besar?

KUALA LUMPUR, 29 JAN: DAP mahu Datuk Seri Najib Razak menjelaskan segera kepada rakyat tentang projek lebuh raya Banting-Taiping sepanjang 316km yang menimbulkan banyak persoalan tentang ketelusan dan prestasi syarikat yang terlibat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada konsesi lebuh raya itu selama 60 tahun yang berjumlah RM7.07 bilion sebagai permulaan kepada satu lagi skandal yang akan menyebabkan penderitaan rakyat lebih perit.

Menurutnya rakyat perlu tahu dengan jelas tentang projek itu yang dianugerahkan kepada Kumpulan Europlus Bhd (Europlus) untuk pembinaan lebuh raya itu yang melibatkan pinjaman mudah RM2.24 bilion, subsidi faedah 3% untuk 22 tahun dan geran sebanyak RM980 juta untuk pengambilan tanah.

Katanya Europlus mengumumkan telah menerima surat kelulusan untuk membina lebuhraya 316km daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri.

“DAP berasa curiga kenapa Kerajaan Persekutuan belum lagi membuat pengumuman mengenai konsesi lebuhraya yang jelas melanggar prinsip asas ketelusan dan kebertanggungjawab awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum kerajaan menandatangani perjanjian dengan Europlus, Perdana Menteri perlu memastikan tujuh persoalan berikut dijawab:

1.Adakah tender terbuka dijalankan untuk perjanjian ini, dan jika tidak, kenapa? Jika ya, siapa lagi yang menyertai dan kenapa mereka tidak dipilih?

2. Kenapa Europlus dipilih, sedangkan mereka tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam bina-kendali-pindah (BOT) sektor lebuh raya, dan pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan?

3. Bagaimanakah kerajaan boleh memberi tempoh konsesi selama 60 tahun, iaitu yang terpanjang dalam sejarah Malaysia (dan kedua paling lama selepas perjanjian pembekalan air selama 100 tahun kepada Singapura yang telah dimeterai pada tahun 1960-an)?

4. Apakah rasional untuk penganugerahan pinjaman mudah sebanyak RM2.24 bilion dari tahun 2013 pada kadar faedah 4% serta subsidi faedah 3% untuk pinjaman komersial selama 22 tahun? Kedua-dua subsidi ini berjumlah RM4 bilion jika prinsipal pinjaman adalah RM6 bilion.

5. Kenapa perlu kerajaan membayar RM980 untuk pengambilan tanah sedangkan ini projek swasta?

6. Kenapa kos lebuh raya 316km ini yang berjumlah RM7.07 bilion atau RM22.3 juta setiap km adalah dua kali ganda kos pembinaan lebuhraya yang sama di India dengan kos RM10 juta setiap km?

7. Jika konsesi tol terbaru ini adalah alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak, kenapa berhenti di Taiping? Kenapa konsesi Europlus tidak dilanjutkan kepada Pulau Pinang yang mengalami kesesakan yang lebih teruk? Ini tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang dan juga Kedah.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata konsesi 60 tahun yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdana Menteri itu bermakna beberapa generasi rakyat Malaysia akan terpaksa membayar tol dari generasi beliau hingga ke cucu-cicitnya.

“Ini langsung tidak boleh diterima kerana tempoh konsesi yang begitu lama ini hanya menguntungkan segelintir kroni syarikat pengendali tol yang akan mengaut keuntungan Maha Firaun manakala yang ruginya 28 juta rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata rakyat Malaysia tidak boleh menerima lagi satu skandal seumpama Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), di mana pengendali tol diberi tempoh konsesi 50 tahun sehingga 2038 walau pun mereka sudah mengaut keuntungan berkali-kali ganda lebih daripada pelaburan asal.

Beliau menjelaskan bahawa kos pembinaan NSE adalah RM6 bilion dan setakat 31 Disember 2010, pengendali tol sudah pun menerima RM24.3 bilion, iaitu keuntungan sebanyak RM18.3 bilion.

“Kenapa pengendali NSE dibenarkan mengutip tol sehingga 2038 serta menaikkan kadar tol apabila mereka sudah mengaut keuntungan yang maha-Firaun, iaitu RM18.3 bilion ataupun 3 kali ganda kos pembinaan?

“Cukup, cukuplah! Kerana itulah Pakatan Rakyat menekankan pemansuhan tol NSE.

“Rakyat Malaysia tidak mahu pengulangan skandal NSE. Perdana Menteri haruslah menjawab tujuh soalan di atas untuk memastikan kepentingan awam dijaga dan dipelihara dalam perjanjian RM7.07 bilion dan konsesi 60 tahun Europlus ini,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...