12 November 2011

Pindah wakaf surau sudah dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri- Kerajaan Negeri

ALOR SETAR - Cadangan pemindahan surau wakaf Salihiah Kanchut adalah selepas perkara
tersebut dirujukkan kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah dan ia tidak dibuat dengan
sewenang-wenangnya memandangkan surau tersebut adalah harta yang diwakafkan oleh
individu tertentu.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB
Dato' Ir Amiruddin Hamzah kepada Warta Darul Aman. Menurut beliau, apabila cadangan pembangunan Kompleks Tunku Yaakob melibatkan tanah premis Madrasah Salihiah yang dijadikan surau maka beliau bagi pihak kerajaan negeri,berjumpa dengan Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang mengetuai Majlis Fatwa; bagi mendapatkan pandangan.

Hasilnya, pihak jawatankuasa Fatwa yang bermuzakarah membenarkan surau tersebut
dipindahkan ke lokasi lain dengan kaedah 'Istibdal' iaitu lokasi baru yang dipindahkan mendapat
manfaat yang lebih besar dari lokasi asal."Contoh yang mudah ialah jika surau wakaf lama hanya dimakmurkan oleh 10 orang tetapi jika dipindahkan ia boleh dimakmurkan oleh 100 orang bersama lain-lain manfaat yang lebih besar, maka tempat wakaf asal itu boleh untuk dipindah atau ditukarganti ke tempat lain," ujar Amiruddin.

Apa yang berlaku terhadap surau Salihiah itu, kata Amiruddin, ia hanya menjadi tempat
berjemaah untuk jumlah yang kecil iaitu para pekerja di sekitar itu sahaja. Surau tersebut tidak terletak di kawasan perkampungan atau taman perumahan.

Menurut Amiruddin, pihak kerajaan telah berunding dengan pemaju supaya membina sebuah
surau dengan keluasan yang lebih besar (dari surau asal) dalam kompleks tersebut.
"Pihak pemaju telah bersetuju untuk membina surau tersebut di aras bawah kompleks bagi
memudahkan umat Islam mengerjakan solat berjemaah serta lain-lain aktiviti," ujarnya.
Katanya, bagi pandangan Majlis Fatwa, oleh kerana tempat asal tersebut adalah surau, maka
'imej surau' hendaklah dikekalkan pada binaan kompleks baru bagi memaklumkan kepada umat
Islam bahawa terdapat surau di situ.

"Hal tersebut juga turut dipersetujui oleh pihak pemaju," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, surau tersebut bukanlah ganti wakaf kepada surau asal. Ganti wakaf
kepada surau asal akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang menjadi pemegang
amanah kepada surau tersebut setelah diberikan pampasan oleh pihak pemaju sebanyak
RM1.6 juta.

"Majlis Agama nanti yang akan mengenalpasti dan menguruskan tapak wakaf baru yang akan
memberi manfaat lebih besar dari yang asal," katanya.
Mengenai kenyataan pihak pengurusan surau tersebut yang masih mempertahankan fatwa
bahawa surau asal tidak boleh dirobohkan, Amiruddin memberitahu bahawa apabila terdapat
fatwa baru yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa maka dengan sendirinya ia memansuhkan fatwa
yang terdahulu.

(Warta Darul Aman akan cuba mendapatkan penjelasan lengkap Dato' Mufti berhubung isu

BERITA YANG BERKAITAN

Madrasah berusia 100 tahun akan dirobohkan.
utusankedah@utusan.com.my
Sebahagian penduduk berdemontrasi secara aman membantah pengambilan tanah wakaf oleh kerajaan negeri Kedah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 10 Nov. – Seluruh kariah Madrasah Sahiliah Kanchut, Jalan Tambang Badak dekat sini sebulat suara akan mempertahankan madrasah itu daripada dirobohkan walaupun notis mengosongkan bangunan daripada kerajaan negeri berakhir hari ini.

Pengerusi jawatankuasa madrasah, Ahmad Hamzah berkata, ahli kariah amat kecewa dengan tindakan kerajaan Pas Kedah yang membenarkan pengambilan tapak dan bangunan madrasah berstatus wakaf khas itu yang mendapat sokongan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Sehubungan itu, pihaknya mendesak agar satu perbincangan semula diadakan dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Jabatan Mufti negeri dan Pejabat Tanah Kota Setar berhubung status sebenar premis di atas tanah wakaf itu.

“Seluruh pemegang amanah dan kariah sangat kecewa kerana kerajaan negeri dan pemaju projek ini melanggar dan mengabaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah sendiri yang dikeluarkan pada 21 Jun 2010.“Jadi kami semua ahli jawatankuasa nekad untuk mempertahankan madrasah ini supaya dikekalkan tanah wakaf khas berusia 100 tahun ini daripada diambil dan membantah sekerasnya bangunannya dirobohkan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Difahamkan, tapak madrasah seluas 0.08 hektar akan dibangunkan menjadi sebahagian daripada projek pembangunan semula Plaza Tunku Yaacob yang turut membabitkan pembinaan kompleks beli-belah, pusat komersial, hotel dan kondominium. Projek tersebut dikatakan dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Kedah termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad dan pemaju swasta.

Menurut Ahmad, pihaknya turut keliru dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 21 Jun lepas yang disifatkan membelakangkan pemegang amanah madrasah.“Apa yang menghairankan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju melakukan pindaan terhadap fatwa yang dikeluarkan sebelum ini iaitu menerima permohonan PKNK agar madrasah ini dirobohkan.

“Walaupun kita sudah memohon secara rasmi agar madrasah ini dikekalkan, namun nampaknya ia tidak diendahkan kerana kami masih menerima notis mengosongkan bangunan ini hujung Oktober lalu daripada Pejabat Tanah Kota Setar yang berakhir hari ini,” katanya.

Katanya, madrasah berkenaan yang mempunyai kira-kira 200 ahli yang berstatus tanah wakaf dikhususkan untuk orang Islam bagi tujuan pembinaan masjid atau surau dan ia tidak pernah diganggu sejak sekian lama. “Tanah ini adalah hak orang Islam yang sudah termaktub sekian lama dan kami memilih untuk mengekalkannya seperti sedia ada.

“Apa salahnya di sebalik pembangunan kawasan ini dengan pusat komersial, madrasah ini tetap dikekalkan di tempat asal tanpa diruntuhkan bagi manfaat jemaah untuk menunaikan ibadah serta melakukan aktiviti keagamaan,” katanya.Katanya, madrasah itu kini menjadi pusat kegiatan kelas bahasa Arab dan pengajian agama dan al-Quran selain menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk ketika bulan Ramadan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...