30 Jun 2011

Kekal berkecuali, Ambiga beritahu SPR

Kekal berkecuali, Ambiga beritahu SPR
Oleh Yow Hong Chieh June 30, 2011

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya berhenti daripada menuduh Bersih hanya memperjuangkan agenda pembangkang jika mahu agensi itu dilihat sebagai bertindak berkecuali, kata Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar).

Pengerusi Bersih itu berkata, SPR perlu berhati-hati dengan apa yang diperkatakan kerana suruhanjaya tersebut dikehendaki kekal sebagai sebuah badan yang bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya kami mengatakan bahawa adakah ia menunjukkan mereka (SPR) itu bebas? Dan, saya minta rakyat membuat penilaian,” kata beliau kepada pemberita di luar ibu pejabat polis di Bukit Aman selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

SPR berkata pintu perbincangan dengan Bersih masih terbuka sambil merayu agar pertubuhan bukan kerajaan itu membatalkan Himpunan Bersih 2.0 dan “memisahkan diri” daripada agenda parti politik.

Awal hari ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak pernah menutup pintu kepada Bersih untuk mengadakan perbincangan.

“Saya ingin merayu, pintu perundingan kepada Bersih masih terbuka, belum ditutup,” kata beliau dalam pembentangan pada forum makan tengah hari di bawah tajuk “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?”

Sambil berulang kali meminta Bersih memisahkan daripada parti-parti politik, Wan Ahmad berkata, Bersih pernah memulis surat kepada SPR untuk mengadakan pertemuan susulan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun kata beliau, SPR telah meminta agar ditangguhkan perminatan pertemuan itu kerana membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

“Bersih bukan Bersih yang saya kenali dulu. Ia sudah berubah, ia menjadi semakin kusut. Ia tidak baik... saya merayu kepada Ambiga, pisahkan daripada agenda politik,” kata Wan Ahmad.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...