06 Mei 2011

UMNO YANG HILANG

UMNO sudah tidak UMNO lagi - 'Attribute' sebagai parti pemerintah sudah hilang.

Dalam posting saya yang lepas saya telah berjanji untuk membuat ulasan yang ringkas apa kah unsur-yang sudah tiada lagi yang menyebabkan rakyat sudah tidak memberikan sokongan penuh kapada parti yang memerintah. Apa pula unsur-unsur baru yang menyebabkan keadaan yang membuatkan perpaduan rakyat berbilang kaum ini luntur dengan cepatnya.

Apakah elemen-elemen baik yang sudah hilang itu? Pandangan politik selalunya boleh sahaja disangkal dan dinafikan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan kita. Tetapi perbezaan ini biasa kerana politik ini dimainkan oleh manusia yang mempunyai pemikiran yang amat susah untuk disatukan. Apa yang boleh disatukan ialah pemahaman dan ‘understanding’ bagi mencari ‘point of reconciliation’ di antara dua pemikiran yang berbeza.

Memang susah untuk mencarinya tetapi mengikut pengalaman yang sudah-sudah manusia atau individu pemimpin yang mampu mencari ‘the point of reconciliation’ itu ialah seorang yang secara relatifnya diterima dan dihormati oleh masyarakat umum, bukannya oleh mereka yang sedang memihak kepada mana-mana pihak yang berbalah.

Dulu Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail merupakan dua manusia pemimpin yang dihormati oleh semua pihak. Walaupun UMNO menghadapi keputusan yang tidak baik di dalam pilihanraya 1969 tetapi kedua pemimpin UMNO ini memang dihormati oleh kawan dan lawan. Semua pihak dapat merasakan kejujuran Tun Razak maka mudahlah bagi PM kedua negara kita itu membawa kemeja perundingan untuk mencari penyelesaian kepada kerumitan yang sangat besar yang dihadapi oleh negara semasa itu.

Rakyat berbilang kaum termasuk kaum-kaum yang berbalah semasa itu melihat dan berkeyakinan Tun Razak adalah pemimpin yang ikhlas untuk mencari perdamaian. Itulah sebabnya GERAKKAN, parti pembangkang yang ditubuhkan oleh Syed Husein Al-Atas dengan rakan-rakannya telah sanggup kemeja perundingan dengan pemimpin UMNO semasa itu walaupun UMNO telah menurun pengaruhnya di dalam pilihanraya 1969 itu.

Keyakinan yang sebeginilah yang sudah tidak ada lagi di dalam kepimpinan negara. Baik pemimpin serta ahli-ahli parti-parti yang ada melihat kepimpinan pada hari ini tidak sampai dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan penghormatan seperti pemimpin-pemimpin terdahulu yang saya sebutkan tadi.

Tidak mungkin mana-mana pemimpin lain yang serius untuk mendewasakan negara ini akan mempunyai keyakinan terhadap individu pemimpin yang mengutamakan glamour peribadi serta anak isteri serta kroni-kroni mereka. Jarang-jarang kita mendengar Tun Razak selaku PM negara ini beretorik dengan nada yang tinggi ibarat ketua demonstrasi dengan ucapan yang menggegarkan.

Mungkin pemimpin dahulu kekurangan ‘form’nya tetapi mereka kaya dengan ‘substance’ di dalam mereka. Pemimpin dahulu menghormati rakyat dengan membawa rakyat bersama di dalam melaksanakan segala program kerajaan terutamanya program yang melibatkan kepentingan mereka. Pemimpin–pemimpin mengambil setiap masa berinteraksi dengan rakyat melalui segala usaha kerajaan termasuk program ekonomi yang melibatkan rakyat yang ramai di peringkat akar umbi.

Segala projek besar kerajaan akan dibawa sekali rakyat untuk bersama memikirkan cara yang terbaik dalam perlaksanaannya. Pegawai-pegawai penerangan di daerah merupakan pegawai kerajaan yang sangat penting dan diberikan tugas melaksanakan kursus sivik kepada semua kampong dan urusan itu dilakukan dengan ketua-ketua kampong dan JKKK. Ceramah sivik di adakan di setiap kampong dan dalam kursus sivik itulah rakyat membangkitkan apa-apa yang tidak kena dengan perlaksanaan projek-projek tersebut.

Berinteraksi secara ‘direct’ dengan rakyat itu banyak keuntungan bagi kerajaan. Pertamanya dari dialog-dailog itu kita akan dapat merasakan keinginan rakyat dan kita boleh mengetahui apa-apa kekurangan dengan program yang ingin kita laksanakan itu. Maka kita boleh melakukan ‘adjustments’ di sana-sini hasil dari lapuran dialog dengan orang ramai itu.

Kebaikan berjumpa terus dengan setiap rakyat di kampong-kampong ini akan membina perasaan interaksi rakyat dengan kerajaan. Di samping itu rakyat akan merasakan yang mereka adalah sebahagian dari ‘decision making’ oleh kerajaan itu dan mereka akan bersama-sama bertanggung jawab di atas apa-apa keputusan itu. Itulah yang berlaku di zaman pra-Mahathir dahulu. Rakyat merasakan yang mereka dibawa bersama di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Tetapi selepas zaman Husein Onn keputusan yang dilakukan oleh kerajaan tidak di beritahu kepada UMNO dan JKKK dan rakyat ramai. Keputusan yang di ambil oleh kerajaan hanya dilaksanakan tanpa membuat apa-apa ‘reference’ kepada rakyat melalui UMNO dan JKKK. Dari sejak itu rakyat tidak lagi faham ‘wisdom’ sesuatu keputusan kerajaan itu. Orang ramai hanya diarah dan dipaksa menerima segala-gala keputusan tanpa soal jawab. Lama kelamaan rakyat tersisih dari kerajaan tanpa disedari.

Ketua-ketua kampong pun mempunyai masalah untuk memanjangkan idea kerajaan itu kerana ketua-ketua kampong pun tidak faham apa-apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan itu. Malahan ketua-ketua kampong sekarang sibuk dengan menguruskan projek pembangunan kecil melalui lessen-lesen kelas F mereka.

Sekarang ini di daerah-daerah pegawai di pejabat daerah sendiri pun ada dua tiga lessen kelas F untuk mendapatkan kerja-kerja dari projek pembangunan kecil di kampong-kampong dan tidak ada pihak yang melakukan ‘monitoring’ terhadap kegiatan yang salah ini. Tetapi sekarang itu sudah tidak menjadi kesalahan lagi kerana korupsi dan salah guna kuasa merupakan perkara yang sudah dibudayakan. Salah-salah sebut kita pula yang akan menjadi mangsa kutukan mereka.

Keadaan ini berlaku dihampir semua daerah. Mereka merupakan pemimpin penting di daerah tetapi mereka menyalah gunakan kuasa yang ada kepada mereka dan rakyat sendiri sudah ‘detached’ dengan puak-puak ini. Saya berpendapat penyakit ini tidak mungkin dapat diatasi oleh pimpinan pada hari ini kerana pimpinan sendiri menpunyai program peribadi untuk memperkayakan diri dengan mengambil sendiri projek-projek ini melalui kroni-kroni mereka.

Pemimpin sekarang ini berebut-rebut dengan rakyat untuk mendapatkan projek, tanah dan yang lain-lain untuk membina kekayaan mereka. Nilai kepimpinan yang ada sudah rosak binasa. Ramai pemimpin yang tinggi-tinggi di dalam UMNO atau BN sendiri mengakui hakikat ini tetapi mereka seperti juga pemimpin lain tidak berani bersuara untuk melaksanakan tanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini. Mereka takut jawatan mereka akan hilang. Masing-masing menjaga kepentingan msing-masing tanpa memikirkan apa yang akan berlaku pada generasi mereka yang akan datang.

Mereka hanya berani bercakap di belakang tetapi tidak berani menegur kepimpinan yang lebih tinggi dari mereka. Di hadapan pimpinan besar mereka tertunduk-tunduk untuk mengekalkan apa yang ada kepada mereka. Kepada mereka ini kita ucapkan ‘Selamat Cari Makan’ sahajalah.

Rakyat sebenarnya adalah di dalam ‘desperation’ untuk melihat perubahan tetapi mereka tidak nampak juga perubahan walaupun pemimpin tertinggi mengumumkan satu demi satu projek pembangunan yang nilainya berbillion ringgit. Rakyat di bawah tetap dengan keadaan lama malahan dengan naiknya harga barangan sekarang ini mereka merasakan himpitan dan tekanan dari kenaikan kadar inflasi yang tinggi itu.

Mereka memilih untuk memberikan undi dan sokongan kepada pembangkang yang dikatakan oleh pemimpin–pemimpin UMNO sebagai pihak yang tidak berkemampuan untuk menjadi kerajaan. Tetapi apabila rakyat di lima buah negeri memberikan mandat kepada PR maka nyata mereka mampu memimpin dengan lebih baik dari pihak kita.

Apabila PR mampu mentadbir UMNO pula yang berasa tidak tentu arah kerana rakyat nampaknya memberikan dukungan kuat kerana apa yang mereka mahu lihat, iaitu perubahan budaya dan sikap itu boleh diberikan oleh PR kepada mereka.

Ramai rakan-rakan dari Selangor mangakui yang pentadbiran Selangor sekarang adalah lebih telus dan mampu menyelesaikan perkara-perkara penting yang telah diabaikan oleh kerajaan BN dahulu.Sebelum ini BN mengambil semuanya ‘for granted’ dan tidak menyedari rakyat ramai memerhatikan tingkah laku yang kurang baik sejak berdekad-dekad dahulu.

Sekarang ini kita menyaksikan pemimpin-pemimpin UMNO di Selangor ‘terhayak ke sana, terhayak ke sini’ untuk memalingkan sokongan rakyat kepada mereka. Mereka berdemonstrasi di sana sini dan bercakap seperti orang yang sudah ‘tidak betul’ lagi. 'Attribute' mereka seperti pembangkang, maka mereka akan terus jadi pembangkang di Selangor. Bagi saya di Selangor keputusan pilihanraya nanti adalah ‘predictable’. UMNO sudah tidak UMNO lagi.

Anda tahu maksud saya

-ASPAN ALIAS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...