28 Mei 2011

KDNK INDONESIA AS$700 bilion pada 2010, SASAR AS$4.5 trilion 2025

Indonesia lancar pelan induk 2025, sasar pelaburan RM1,410 bilion
May 28, 2011
JAKARTA, 28 Mei — Kerajaan Indonesia melancarkan pelan induk bagi pembangunan republik menjelang 2025 termasuk menyasarkan pelaburan sekitar Rp4,000 trilion (AS$470 billion; RM1,410 bilion) dan menaikkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 550 peratus.

Pelan induk yang dikenali sebagai MP3EI atau Pelan Induk bagi Peningkatan dan Pengembangan Pembangunan Ekonomi Indonesia akan menyaksikan 17 projek infrastruktur bernilai Rp190 trilion bermula tahun ini, kata Hatta Rajasa yang merupakan menteri koordinasi ekonomi.

Ia sebahagian daripada pelan pelaburan Rp4,000 trilion. Laporan portal The Jakarta Globe hari ini menyebut, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melancarkan pelan induk itu semalam, sebahagian daripada usaha menjadikan Indonesia negara ekonomi ke-12 terbesar di dunia menjelang 2025.

Bagaimanapun Susilo (gambar) menggariskan lima halangan utama dalam mencapai sasaran itu iaitu proses birokratik yang lembap, kerajaan tempatan yang kepentingan sendiri, pelabur-pelabur gagal memenuhi komitmen, dasar-dasar yang tidak memuaskan dan kemelut politik.

“Kita tidak meramalkan apa yang akan berlaku dalam 15 tahun dari sekarang,” kata Susilo.

“Ada dua kemungkinan, Indonesia boleh berjaya melaksanakan pelan induk ini dan mencapai matlamatnya atau ia boleh gagal. Saya tidak mahu melihat ia gagal.

“Masa depan kita boleh dibincangkan dan terserah kepada kita dan Tuhan akan mengubah masa depan,” katanya.

Pelan induk itu juga meletakkan sasaran menaikkan pendapatan per kapita daripada AS$16,000 pada 2025 daripada AS$3,000 tahun lalu manakala KDNK boleh mencapai AS$4.5 trilion dalam 14 tahun lagi berbanding AS$700 bilion pada 2010.

Kini ekonomi Indonesia adalah yang ke-17 terbesar di dunia.

“Mustahil untuk mencapai matlamat ekonomi jangka panjang tanpa pelan induk,” kata presiden itu.

“Kita juga tidak boleh terlalu bergantung pada mekanisme pasaran,” katanya.

Pelan induk itu berdasarkan enam koridor dengan kelebihan daya saing yang khusus iaitu Sumatera menjadi pusat pertanian dan tenaga, Kalimantan untuk perlombongan dan tenaga, Sulawesi dan Maluku Utara bagi pertanian dan perikanan, Bali dan Nusa Tenggara bagi pelancongan dan pengeluaran makanan, Papua dan Maluku bagi sumber-sumber semula jadi dan modal insan manakala Jawa bagi perindustrian dan perkhidmatan.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...