28 Mei 2011

Rakyat Perlu Yakin Dengan Kredibiliti PR, Kata Aziz

Rakyat Perlu Yakin Dengan Kredibiliti PR, Kata Aziz
Ditulis oleh Mohamad Nor Syafiq

SHAH ALAM 28 MEI: Penganalisis Politik Professor Dr. Abdul Aziz Bari berkata gagasan Pakatan Rakyat merupakan parti yang berani kerana berjaya meneruskan pemilihan pucuk pimpinan utamanya.

Ini, katanya kerana pemilihan itu diadakan dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Malah, tindakan itu juga menunjukkan kematangan berpolitik setiap parti sekali gus menonjolkan sikap keterbukaan dan kefahamannya terhadap konsep sebenar demokrasi tanpa perlu mengganggu fokus utama Pakatan Rakyat dalam membawa perubahan.

“Berbanding dengan parti-parti dalam Barisan Nasional(BN), Pakatan Rakyat lebih berani untuk meneruskan sekali gus tidak menafikan proses demokrasi terhadap ahlinya. Ini juga menunjukkan ketelusan dan akautibiliti mereka dalam parti komponen Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Pada November 2010, PKR telah mengadakan pemilihan partinya sehingga mengakibatkan pelbagai isu dan kontroversi menyelubungi pemilihan terbabit.

Namun begitu, Aziz Bari percaya kematangan dan sikap percaya antara ahli parti yang ditunjukkan oleh PAS merupakan sesuatu perkara yang perlu dilihat rakyat dalam membina kemampuan parti Islam itu untuk terus mencapai matlamat mereka.

“Saya fikir perkara itu tidak timbul kerana setahu saya mereka tidak pernah menafikan untuk menagguhkan pemilihan tanpa sebab dengan erti kata lain mereka yakin dengan kredibiliti dan integriti ahli-ahli parti. Mereka yakin dengan kematangan ahli dan sistem pemilihan dalam parti. Ini merupakan satu perkara yang saya fikir sangat baik kerana kalau kita bandingkan dengan komponen BN jauh sekali. Dengan kata lain mereka percaya dengan diri sendiri,"ujarnya.

"Dibandingkan dengan komponen BN, mereka seolah-olah tidak percaya dengan kemampuan dan ketelusan dalam parti mereka sendiri. Ini perbandingan yang rakyat patut lihat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aziz turut mengulangi keyakinan beliau bahawa sebarang keputusan yang berlaku dalam pemilihan Pas tidak akan mengganggu fokus Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya memandangkan ia bukan kali pertama Pas mengadakan pemilihan parti dan perkara ini boleh dilihat melalui cara ahli Pas berpolitik berbanding Umno dalam Barisan Nasional.

Ujar beliau lagi, kematangan Pas perlu dicontohi parti lain dalam usaha mengekalkan keharmonian dalam kalangan ahli parti dan parti komponen.

“Ya ini bukan kali pertama. Saya fikir benda ini dah berlaku sejak dahulu lagi. Ini merupakan satu bukti bahawa, satu parti yang cukup lama, yang tidak mendabik dada tetapi melakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan. Ini merupakan satu perkara yang cukup baik,” ujarnya.

Muktamar Pas ke-57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Setakat ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing-masing tanpa sebarang tentangan.-tvs

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...