28 Mei 2011

BUBAR DUN: PUSAT DAN SULTAN TIADA KUASA

Najib: BN tak risau jika PR panggil PRU DUN berasingan

Perdana Menteri berkata BN tidak boleh mempengaruhi keputusan negeri-negeri yang ditadbir PR termasuk tidak membubarkan DUN masing-masing apabila kerajaan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum.

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Barisan Nasional (BN) tidak risau untuk menghadapi pilihan raya umum berasingan jika negeri-negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya ke-13 diadakan secara serentak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, BN tidak boleh mempengaruhi keputusan negeri-negeri yang ditadbir PR termasuk tidak membubarkan DUN masing-masing apabila kerajaan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Kita tak boleh tentukan apa dia akan buat, kita cuma boleh tentukan apa yang kita boleh buat,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Saya akan bagi pandangan yang berat pada apa saya boleh buat,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri boleh menasihati Sultan atau Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN atau tidak.

“Raja ada kuasa untuk menolak permohonan tapi tiada kuasa untuk membubar. Itu kedudukan dari segi perlembagaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini berkata, negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang tidak akan membubarkan DUN sekiranya kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen tahun ini.

Kerajaan negeri Selangor juga pernah mengumumkan pendirian yang sama.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi Umno memutuskan simulasi pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang akan dijalankan pada pertengahan tahun ini.

Kata Najib, semua pemimpin parti akan turun padang untuk meninjau perjalanan sepanjang pilihan raya itu berlangsung bagi meningkatkan persediaan secara berterusan menghadapi pilihan raya umum.

“Simulasi (pilihan raya olok-olok) kita akan buat mengikut jadual pada pertengahan tahun ini. Itu (dibuat) berterusan dan akan ditingkatkan dalam usaha kita ke arah PRU-13,” kata beliau.

Najib bagaimanapun tidak menyatakan tarikh bagi melaksanakan simulasi berkenaan.

Ditanya mengapa pendekatan turun padang seperti yang dilakukan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam usaha mendekatkan diri dengan rakyat tidak diamalkan pemimpin-pemimpin lain, Najib berkata ia dijalankan dalam bentuk berbeza.

“Cuma kerana acara turun padang walkabout itu dilakukan oleh saya dan Timbalan Perdana Menteri, ia menjadi acara formal tetapi sebenarnya semua peringkat pemimpin negeri turun padang,” katanya.

Mengenai persidangan perwakilan Umno bahagian, Najib berkata setakat hari ini, sebanyak 90 bahagian Umno, 134 Pergerakan Wanita, 135 Pergerakan Pemuda dan 152 Pergerakan Puteri telahpun mengadakan mesyuarat.

Sementara itu, Najib berkata mesyuarat MT hari ini turut memutuskan bahawa tindakan penggantungan terhadap tiga anggota Umno iaitu Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil Saadon Basiron dan Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil Zarina Ismail, yang digantung tiga tahun lepas, ditarik balik.

“Mesyuarat telah bersetuju bahawa tindakan penggantungan ketiga-tiga anggota Umno itu diketepikan,” katanya dalam laporan itu.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga bersetuju untuk melantik bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno MT bagi penggal 2011-2013.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...