22 Januari 2015

INDUSTRI IT MEMBEBASKAN WARGA PLESTIN DARI KEPUNGAN EKONOMI ISRAEL


Bagaimana Industri IT Membebaskan Warga Palestin Dari Kepungan Ekonomi Israel

Selamat datang ke Palestin, negara kecil yang sudah ditakluki regim Zionis sejak 1948. Setiap hari penduduknya berhadapan dengan sekatan perjalanan dan juga sekatan ekonomi. Dengan terbinanya tembok konkrit sepanjang sempadan kawasan milik Israel dan Palestine, pergerakan seharian penduduknya tertakluk kepada kasihan belas pihak penceroboh. 

Sejak 2006 sekatan ekonomi diperketatkan mengakibatkan warga Palestin sukar mendapatkan kerja. Seawal suku pertama tahun lalu kadar pengangguran di kalangan warga Palestin mencecah 36%, pengangguran di kalangan pemuda di dalam julat 15-29 tahun pula ialah 58.2%

Ini adalah tinggi kerana jika dibandingkan dengan di Malaysia kadar pengangguran negara adalah serendah 3.2%. Ini bukanlah kerana warga Palestin adalah pemalas. Bayangkan anda perlu beratur seawal 4 pagi untuk melepasi pos kawalan tentera Israel untuk pergi ke kerja setiap hari. Apabila berlakunya “serangan keganasan” sempadan ditutup secara pukal mengakibatkan warga Palestin tidak boleh pergi ke tempat kerja dan diberhentikan. Jika anda mempunyai permit untuk bekerja sekalipun anda boleh dihalang melepasi pos kawalan atas “sebab-sebab keselamatan”.

Kekangan ekonomi oleh Zionis ini adalah taktik keji bagi membuatkan kehidupan warga Palestin semakin terhimpit. Ini adalah bagi memaksa mereka yang masih mahu tinggal di kawasan jajahan Israel untuk berpindah keluar dari tanah kelahiran mereka. Apakah yang boleh dilakukan warga Palestin bagi menyara hidup mereka? Bagi Saady Lozon jawapannya terletak pada penggunaan teknologi IT. Saady adalah pemilik syarikat Unit One yang menghasilkan aplikasi telefon pintar yang berpangkalan di Semenanjung Gaza. Usahawan berkelulusan sains perkomputeran ini mendapat idea menubuhkan syarikat beliau sendiri selepas bekerja di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Beliau menyedari di atas talian sempadan fizikal, pos ketenteraan dan permit pekerjaan tidak diperlukan. Teknologi IT boleh digunakan untuk membebaskan mereka dari kepungan ekonomi Israel.

Syarikat ini kini mengembangkan perniagaan kepada perkhidmatan pengurusan data dan beroperasi dari dua unit apartmen yang disewa. Dari pejabat kecil ini mereka berjaya mempunyai pelanggan dari Amerika Syarikat, Eropah dan juga India. Paling menakjubkan ialah ianya bermula dengan Saady Lozon melakukan panggilan Skype kepada seorang pelanggan dari bilik tidur beliau dan memberikan mereka aplikasi percuma. Unit One kini mempunyai aspirasi untuk menjadi“Google untuk Palestin”. Syarikat ini semakin berkembang dan apabila 10 jawatan baru ditawarkan mereka menerima 400 permohonan dari warga Gaza.


Kami kagum dengan ketabahan Saady Lozon mengembangkan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga Gaza sungguhpun di bawah kekangan teruk regim Zionis. Dalam situasi biasa pastinya ramai akan menyerah diri kerana ketidakadilan yang menimpa. Dari kisah Saady Lozon jelaslah mengapa akses kepada perkhidmatan internet diakui oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sebagai antara hak asasi manusia yang perlu pada tahun 2011. Akses internet sekurang-kurangnya dapat membebaskan warga Gaza dari kekakangan di dunia nyata oleh pihak Israel. Seperkara lagi yang menakjubkan di dalam kes Unit One ialah kawasan di bawah jajahan Israel hanya dibekalkan kuasa elektrik selama enam jam sehari tetapi syarikat ini masih mampu berjaya. Semoga kisah Saady Lozon dan Unit One boleh dijadikan teladan kepada warga Malaysia yang hidup tanpa kekangan seteruk warga Palestin. Jika mereka boleh mempunyai pelanggan dari luar negara dengan pelbagai sekatan, apakah alasan pengusaha dunia IT kita untuk tidak mampu melakukan perkara yang sama.

SUMBER RUJUKAN: REUTERS amanz.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...