08 Disember 2014

GAMBAR-GAMBAR PENYOKONG MALAYSIA BERTINDAK GANAS!!!



UMNO dan PKR kutuk sikap penyokong Malaysia ‘hentam’ tetamu

Apakah ini cara kita layan tetamu? Tak kiralah mereka datang melancong ke memang dah kerja sini ke, ini bukan budaya Malaysia.



PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan beliau kecewa dengan sikap segelintir penyokong Malaysia terhadap penyokong Vietnam.

Menurutnya, walaupun masih menunggu laporan rasmi dari pihak polis dan FAM, berdasarkan maklumat yang diterimanya dan apa yang beliau sendiri nampak, para penyokong Vietnam diserang oleh segelintir penyokong Malaysia di Stadium Shah Alam semasa perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF.

“Tiada alasan bagi tindakan ganas tersebut. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu dalam negara kita. Apakah ini cara kita layan tetamu? Tak kiralah mereka datang melancong ke memang dah kerja sini ke, ini bukan budaya Malaysia.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak terfikir pula apa boleh jadi pada penyokong kita yang akan pergi ke Hanoi, Vietnam untuk perlawanan kedua. Bukankah tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai satu provokasi dan mengundang risiko keselamatan terhadap penyokong-penyokong Malaysia di Hanoi nanti?” tulisnya di Facebook miliknya.

Tambah Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO lagi, oleh kerana penyokong-penyokong ganas ini tidak akan mohon maaf dan tiada sebarang respons daripada FAM, Khairy mohon maaf kepada penyokong-penyokong Vietnam yang diserang di Stadium Shah Alam pada malam tadi.

“Saya akan minta kerjasama polis untuk siasat kes ini dengan segera dan bertindak atas siasatan tersebut. Tindakan ganas segelintir penyokong Malaysia ini tidak mewakili rakyat Malaysia yang sebenar,”




Manakala, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang ditunjukkan segelintir penyokong Malaysia apabila tumpas 2-1 kepada Vietnam.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mereka yang terlibat demi keharmonian sukan di Malaysia.

Beliau berkata kekalahan dalam separuh akhir semalam di laman sendiri sudah pasti mengecewakan seluruh rakyat Malaysia, namun kepercayaan kepada Harimau Malaya untuk 90 minit di Hanoi nanti tidak akan sesekali luntur.

Nik Nazmi berkata semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Harimau Malaya di dalam stadium mahupun di rumah malam semalam jelas menunjukkan semangat ‘Demi Malaysia’ begitu kuat tidak kira kalah atau menang.

“Namun, suasana yang harmoni itu telah dicemari oleh beberapa insiden yang agak memalukan penyokong bola sepak Malaysia dan nama Malaysia sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa insiden pergaduhan di dalam stadium di kalangan penyokong adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut sama sekali terjadi terutamanya apabila kita sebagai tuan rumah kepada lawan dari negara luar.

Tambahnya, biar apa pun alasan yang diberikan oleh mereka yang mencetuskan pergaduhan itu, tindakan membaling botol dan menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima sama sekali.

Nik Nazmi berkata, jelas sekali insiden tersebut telah memberi pandangan dan tanggapan negatif oleh penyokong Vietnam dan seluruh peminat bola sepak dari luar negara,

“Hanya kerana sejumlah kecil penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan berkelakuan seperti itu, seluruh penyokong Malaysia telah terheret sama. Semoga Malaysia beroleh kejayaan dalam pusingan kedua di Hanoi nanti,” ujarnya.

Perlawanan pusingan ke-2 akan berlangsung pada hari Khamis ini, di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi jam 9 malam waktu Malaysia.

Kekecewaan itu turut diluahkan oleh Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, kesilapan pemain pertahanan, Mahalli Jasuli pada separuh masa kedua memberi kesan yang amat besar kepada pasukan negara yang kini berhadapan misi hidup atau mati dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

“Saya anggap persembahan terburuk kami terutama dalam bahagian serangan dan pertahanan. Saya tidak tahu apa yang telah berlaku kepada pemain, tetapi kami masih ada 90 minit di Hanoi dan dalam bola sepak apa pun boleh berlaku,” kata Dollah kepada wartawan selepas perlawanan.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...