12 Oktober 2014

NANCY DIJADIKAN KAMBING HITAM UNTUK SELAMATKAN IBRAHIM ALI?


Ikut kata atau jaga kredibiliti, kata Zaid kepada Nancy, berhubung kes Ibrahim Ali



Bekas ahli kabinet Datuk Zaid Ibrahim kata Nancy Shukri hanya ‘menurut kata’ apabila dia menjawab soalan pemimpin DAP Lim Guan Eng minggu lepas berkaitan gesaan Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk membakar Bible versi Melayu.

Sebagai menteri bertanggungjawab hal-ehwal undang-undang, Nancy Shukri diberi tugas membuat kenyataan tidak popular bagi pihak kerajaan, dan beliau perlu berbuat demikian untuk kekal sebagai menteri, kata bekas ahli kabinet Datuk Zaid Ibrahim.

Menulis di dalam blognya, Zaid yang meletak jawatan daripada kerajaan atas dasar mempertahankan prinsip berkata, Nazy tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya kerana membuat kenyataan menjelaskan kenapa tiada tindakan diambil terhadap Presiden Perkasa Ibrahim Ali.

Memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kata Zaid, Nancy hanya “menurut kata” apabila dia menjawab soalan pemimpin DAP Lim Guan Eng minggu lepas berkaitan gesaan Ibrahim untuk membakar Bible versi Melayu.

"Beliau hendak kekal sebagai menteri dan beliau bersedia untuk setuju untuk menurut kata, dan melakukan apa yang diminta terhadapnya.

"Menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang peguam bukanlah nilai yang terlalu tinggi untuk beliau korbankan. Masing-masing dengan pilihan masing-masing," Zaid menulis dalam blognya.

Zaid berada di dalam kabinet di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai menteri bertanggungjawab hal-ehwal undang-undang juga, tetapi berhenti pada September 2008 kerana berbeza pendapat dengan kerajaan waktu itu mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Berdasarkan pengalaman, Zaid berkata ada kemungkinan pihak polis dan Peguam Negara menggunakan Nancy untuk mengeluarkan kenyataan itu kerana bimbang mereka dikritik orang ramai dalam isu tersebut.

"Penjelasannya mengenai tiada tindakan ke atas Ibrahim membabitkan gesaan membakar Bible itu mungkin tidak datang daripada dirinya sendiri.

"Mengetahui serba sedikit tentang cara Kabinet bekerja, saya syak Nancy tidak menyediakan sendiri kenyataan itu tetapi beliau disuruh menggunakannya memandangkan dia memegang portfolio undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata polis pasti menyedari orang ramai memang menjangkakan Ibrahim akan didakwa mengikut Akta Hasutan atau peruntukan dalam Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menyedari kemungkinan kritikan umum kerana tidak mendakwa Ibrahim, menyerahkan tanggungjawab itu kepada Peguam Negara. Lagipun, mengikut sistem kerajaan kita, keputusan akhir berada di tangan Peguam Negara," katanya.

"Tetapi, Peguam Negara pun bijak. Beliau bukan anggota Kabinet atau ahli Parlimen. Beliau tidak perlu terangkan keputusan yang dibuatnya. Beliau tidak perlu jawab kepada sesiapa kecuali perdana menteri."

Zaid berkata "mereka yang bijak pandai" dalam kerajaan kemudiannya buat apa yang mereka selalu buat – meminta menteri undang-undang mengambil tanggungjawab.

Menurut Zaid, situasi sama pernah dihadapinya semasa memegang jawatan yang sama pada 2008.

"Mereka gunakan taktik sama ke atas saya dalam kes tangkapan ISA, kes pita video Lingam dan isu lain pada 2008. Mereka ingat saya akan pertahankan keputusan yang mereka buat dan keluarkan kenyataan bagi pihak mereka.

"Tapi saya pertahankan pendirian saya; dan tentulah, saya tidak mampu bertahan lama memegang jawatan itu," kata Zaid yang meletak jawatan dalam Kabinet pada tahun itu dan kemudian dipecat daripada Umno.

Zaid berkata Nancy tidak berani berkata "tidak" selagi masih menjadi menteri, dan beliau percaya menjadi tanggungjawabnya mengeluarkan kenyataan seperti yang diminta rakan sekerjanya dalam kerajaan yang memerintah.

Selasa lalu, Nancy dalam jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan, Ibrahim tidak didakwa kerana beliau tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan agama tetapi hanya mempertahankan kesucian agama Islam.

Jawapan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dan banyak pihak yang mengkritik kenyataan yang disifatkan sebagai tidak adil serta berat sebelah~TMI

1 ulasan:

Awanama berkata...

Betullah tindakan Nancy itu. Sebagai menteri dalam kabinet Najib, dia masti mempertahankan dan setuju dengan ketuanya. Bukan macam beberapa exco Selangor dari PKR dan DAP yang terang2 mempermainkan arahan2 MB mereka sendiri seperti isu Oktoberfest. Mereka menyindir kuasa MB tetapi dalam masa yang sama mahu kekal dalam exco!! Lagi jijik dari nancy.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...