31 Ogos 2013

Persempadanan Semula SPR Perlu Mandat 2/3 di Parlimen



Anwar ikrar tiada persempadan semula selagi SPR tidak ditukar

Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak akan ada tahun ini selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada kekal.

Demikian ikrar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider.Tahun ini, sampailah sudah masanya persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dibuat.

Ini bermakna, bila-bila masa sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membentangkan satu persempadanan pilihan raya baru ke dalam Dewan Rakyat.

Mengikut Perlembagaan, ia perlu dilakukan setiap lapan hingga 10 tahun sekali.
Kali terakhir ia dibuat pada tahun 2003 iaitu menjelang pilihan raya umum 2004.
Kini, masanya sudah melebihi 10 tahun. Oleh itu, SPR mahu tidak mahu terpaksa membuat persempadanan ini.

Baru-baru ini,Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya akan bermula hujung tahun ini selepas tertangguh pada 2011.

Beliau berkata proses itu akan dilaksana secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Sepatutnya dibuat pada tahun 2011 tetapi memandangkan pada masa itu kami perlu menghadapi persediaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), maka kami menangguhkannya hingga PRU13 selesai," katanya melalui ceramah bertajuk Pengalaman SPR dalam mengendalikan persempadanan kawasan pada 2003 dalam seminar selepas pilihan raya anjuran Majlis Peguam Malaysia 8 Jun lepas.

Namun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas menolak SPR dengan kepimpinan yang ada untuk mengendalikan kerja-kerja ini.

"Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar.

"Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sempadan kawasan pilihan raya adalah perkara yang termaktub di dalam perlembagaan. Untuk mengubah sesuatu perkara dalam Perlembagaan, ia perlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai majoriti tipis dalam Dewan Rakyat, amat sukar bagi SPR untuk melakukannya.

Sudah tercatat dalam sejarah pilihan raya di negara ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar setiap kali selepas persempadanan pilihan raya dilakukan.

Yang terakhir adalah persempadanan pilihan raya yang dibuat pada tahun 2003. Ia dibuat selepas PAS menang besar dalam pilihan raya sebelumnya yang diadakan pada tahun 1999 akibat sokongan orang Melayu kepada PAS ekoran kes mata lebam Anwar.

Dalam persempadanan 2003 itu, kawasan pilihan raya di negara ini disusun sedemikian rupa dengan memasukkan orang-orang Cina dan India ke dalam kawasan yang selama ini dikuasai oleh pengundi Melayu.

Antara kesan yang paling ketara adalah kawasan Parlimen Kuala Kedah yang dimenangi Mohamad Sabu pada tahun 1999 dan Pokok Sena di Kedah yang dimenangi Datuk Mahfuz Omar.

Dalam persempadanan ini, negeri-negeri yang mendapat sokongan tinggi Umno mendapat tambahan bilangan kerusi yang sangat tinggi. Antaranya Johor yang menambahkan bilangan kerusi ke-26 kerusi Parlimen.

Hasilnya, pada pilihan raya 2004, BN menang besar. Sebahagian besarnya kerana persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat pada 2003.

Namun ia boleh dibuat ketika itu kerana BN mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Pada tahun 2011, persempadanan tidak dibuat kerana BN tiada kuasa dua pertiga walaupun alasan Wan Ahmad adalah kerana hendak menghadapi pilihan raya.

Alasan ini bercanggah sekali dengan apa yang berlaku pada tahun 2003 apabila persempadanan kawasan pilihan raya dibuat setahun sebelum pilihan raya 2004.

Bagi Anwar, persempadanan ini bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan.

"Soal electoral roll pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu," katanya merujuk kepada daftar pemilih yang dikesan mempunyai pelbagai masalah.

Baru-baru ini, SPR menukar setiausahanya, Datuk Kamarudin Mohd Baria namun bagi Anwar ia bukan jalan penyelesaiannya.

"Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara yang diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang-orang kanan mereka.

"Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno... bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini," kata Anwar.

Kepentingan rakyat

Di sebalik faktor ketelusan, faktor kepentingan rakyat juga perlu dikaji dalam persempadanan kawasan pilihan raya ini.

Dengan kuasa yang ada, Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor misalnya boleh berkata 'tidak' kepada cadangan persempadanan pilihan raya ini kerana mereka mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Namun, jika tidak dilakukan persempadanan ini bermakna, rakyat Selangor yang paling rugi kerana mereka tidak akan diwakili dengan adil. Selangor mempunyai 1,924,281 pemilih berdaftar dalam PRU-13 lalu tetapi bilangan Parlimennya hanya 22 sahaja berbanding Johor yang mempunyai 26 kerusi.

"Di Selangor sekarang, jumlah rakyat bagi setiap Parlimen dan DUN terlalu tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. Jika kawasan pilihan raya Parlimen atau DUN tidak ditambah di Selangor bermakna, rakyat yang rugi," kata Abdul Shakur Tahir, Setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat.

Beliau berkata, Johor misalnya mempunyai banyak kawasan Parlimen berbanding rakyatnya bagi setiap Parlimen. Begitu juga kawasan Putrajaya yang hanya mempunyai 10,000 pengundi tetapi mendapat satu parlimen.

"Hulu Selangor misalnya mempunyai 74,939 pengundi dan Gombak mempunyai 106,747 pengundi.

"Sedangkan Segamat di Johor hanya mempunyai 39,807 pengundi manakala Pagoh hanya mempunyai 40,515 pengundi sahaja. Ini tidak adil kepada pengundi Selangor.


"Oleh itu, sesuatu perlu dibuat untuk mencapai kata sepakat dan hak rakyat diberi," kata Shakur yang sangat berpengalaman dalam kerja-kerja pilihan raya.

Ini bermakna, mahu atau tidak mahu persempadanan kawasan pilihan raya satu keperluan. Menjadi keperluan juga ia dibuat dengan adil dan bukan untuk memenuhi keperluan pribadi pihak-pihak yang berkepentingan.

Dengan suasana yang ada, mahu atau tidak, SPR buat pertama kalinya dalam sejarah perlu mendapat persetujuan PR untuk membuat persempadanan kawasan pilihan raya. Jika tidak, SPR akan gagal dan akan dilihat gagal dalam menjalankan tugasnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...