03 Ogos 2013

Laporan Akhbar Singapura Mengenai Jenayah Berniat Jahat Atau Realitinya Betul?



LAPORAN THE NEW PAPER MENGENAI JENAYAH DI MALAYSIA BERNIAT JAHAT - KPN

Kuala Lumpur, 3 Ogos - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan muka depan sebuah akhbar Singapura, The New Paper, mengenai kejadian jenayah di Malaysia baru-baru ini, berniat jahat.

Sebaliknya Khalid menegur akhbar tersebut agar mengawasi hal ehwal jenayah di dalam negara sendiri daripada membuat satu spekulasi yang tidak benar mengenai jenayah di Malaysia.

"Ia adalah satu kenyataan jahat, eloklah dia jaga rumah sendiri daripada menjaga rumah orang," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Jalinan Ramadan Bersama Pasukan Beruniform di sini hari ini.

Akhbar The New Paper pada 31 Julai, telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Selamat datang ke Malaysia di mana kematian adalah murah dan untuk kekal hidup sangat mahal' yang turut menyatakan bahawa untuk mengupah seorang pembunuh hanya memerlukan $2,000 (RM5,000).


Artikel tersebut menerima maklum balas negatif daripada pelbagai pihak yang menyatakan ia tidak beretika dan menggesa agar akhbar harian itu memohon maaf kepada Malaysia kerana menghina. - BERNAMA


Dalam kemelut peningkatan kadar jenayah pihak polis, menteri dan ahli politik menyalahkan penarikan balik  akta ISA dan Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad pada 2011. 

Khairy: Perlu tingkat kecekapan polis, bukannya undang-undang baru

Tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan kemampuan dan kecekapan anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kadar jenayah dan bukannya memperkenalkan satu undang-undang baru.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa memberikan pandangan itu berkata, perkara itu termasuk memahirkan lagi PDRM dalam siasatan jenayah dan meningkatkan kemudahan teknikal pasukan itu.

"Saya secara peribadi tidak setuju dengan mana-mana undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan kerana ia melanggar hak asasi manusia dan 'natural justice' dan ia adalah perkara yang tidak boleh kita terima.

"Jadi bukanlah kita perlu memperkenalkan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sebaliknya kita perlu meningkatkan lagi keupayaan pasukan keselamatan kita," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa Pemuda Umno Negeri Sembilan bersama media, di Seremban malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai polemik rang undang-undang baru bagi menangani jenayah berat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat September ini yang dikatakan akan mempunyai eleman penahanan tanpa bicara.

Rang undang-undang baharu itu bertujuan membanteras jenayah selepas kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad pada 2011.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata, pasukan polis sebenarnya telah mempunyai kuasa yang agak besar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang membenarkan mereka membuat tahanan reman terhadap mana-mana suspek jenayah.

Katanya, sekiranya satu undang-undang baru perlu diperkenalkan sekali pun, ia tidak boleh mengandungi elemen penahanan tanpa perbicaraan kerana ia melanggar prinsip dalam perlembagaan.

Selain itu, Khairy berkata perkara penting yang perlu diambil kira adalah mengenai perlindungan kepentingan dan keselamatan saksi jenayah.

Katanya, walaupun saksi dilindungi oleh Akta Perlindungan Saksi 2009, namun mereka masih perlu tampil untuk memberi keterangan sekaligus menyebabkan identiti mereka terdedah.

"Kita kena cari jalan mungkin pinda beberapa undang-undang untuk memastikan keselamatan saksi terjaga dan itu mungkin kita boleh terima dari segi undang-undang baharu," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...