02 Ogos 2013

Lajim bakal Ketua Perhubungan PKR Sabah?

Anwar meminta pimpinan PKR Sabah memberi peranan penting kepada pemimpin kanan terutama sekali Lajim Ukin supaya program parti di Sabah bertambah kukuh dan mantap


KOTA KINABALU: PKR Sabah dijangka mendapat ketua perhubungan yang baru bulan depan.

Demikian digambarkan ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, dalam sidang medianya selepas majlis berbuka puasa bersama pemimpin PKR di Palace Hotel di sini sejurus tiba pada petang semalam.

“Mesyuarat (PKR Sabah) menentukan Ahmad Thamrin Jaini akan terus memegang jawatan ketua sehingga mesyuarat pimpinan parti di pusat (Kuala Lumpur) memutuskan ketua yang baru bagi Sabah bulan depan,” katanya.

Ketua pembangkang itu juga memberitahu yang beliau ada meminta pimpinan PKR Sabah supaya memberi peranan penting kepada pemimpin kanan terutama sekali Lajim Ukin, ADUN Klias, supaya program parti di Sabah bertambah kukuh dan mantap.

Lajim sebenarnya dilihat sebagai bakal pengganti Thamrin dan banyak pihak termasuk media menjangkakan Anwar akan membuat pengumuman itu hari ini namun tidak berbuat demikian pada saat akhir.

Lajim yang juga presiden Persatuan Kebudayaan Bisaya Bersatu Sabah merupakan satu-satunya calon pembangkang yang telah menumpaskan calon tunggal UMNO (Isnin Aliasneh) yang kalah di Sabah pada pilihanraya lalu.

Lajim yang juga digelar “Janang Gayuh” atau pemimpin agung oleh masyarakat Bisaya di selatan Sabah dikatakan mendapat sokongan 19 daripada 25 ketua cabang PKR di Sabah.

Menurut sumber parti, baru-baru ini 19 ketua cabang itu telah menghantar cadangan mereka kepada presiden parti, Dr Wan Azizah
Ismail, agar Lajim dilantik menggantikan Thamrin supaya parti akan lebih mantap. Lajim juga sekarang merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Mengapit Anwar dalam sidang akhbarnya hari ini ialah Lajim dan Thamrin. Turut hadir ialah wakil-wakil rakyat PKR termasuklah Wilfred
Bumburing, Christina Liew, Jelani Hamdan, Jeremy Uku Malajad, Dr Roland Chia dan Terence Siambun.

Bukanlah membenci

Sumber-sumber parti pula memberitahu FMT yang ketua-ketua cabang bukanlah membenci Thamrin tetapi percaya Lajim akan membawa PKR lebih maju ke depan terutama dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Mereka juga berkata, masa mungkin tidak sesuai untuk membuat pengumuman menukar Thamrin memandangkan beliau masih kurang sihat ekoran dikatakan serangan sakit jantung baru-baru ini.

Sementara itu Anwar pada sidang yang sama turut memberitahu beliau sedia memberi kesaksian di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah.

“Saya sedia memberi keterangan dan berkongsi maklumat yang saya ada ketika saya berada dalam Umno,” kata Anwar yang dulunya timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno.

Menurutnya, esok di Kuala Lumpur pihaknya akan bertemu dengan pegawai kerajaan bagi RCI mengatur tarikh beliau hadir pada siasatan RCI yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sejak beberapa minggu lalu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...