27 Julai 2011

SPR : SURUHANJAYA ATAU JKKP -DOLAK DALIH TAK MASUK AKAL

SPR: Kami tiada kuasa, hanya Putrajaya boleh tunai tuntutan Bersih 2.0


Wan Ahmad Wan Omar (kiri) menjawab soalan hadirin pada Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah.

Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“SPR ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai badan mengurus pilihan raya, kita bukan badan penguatkuasaan ... kita tiada kuasa.

“Kita disokong beberapa akta lain seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain yang mana apabila kita mengadakan pilihan raya kita bukan hanya dikawal oleh peraturan sendiri tapi turut dikawal undang-undang lain ... jadi janganlah salahkan kita,” kata Wan Ahmad pada program bertajuk “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Justeru tegas beliau, SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

“SPR bukan badan yang buat undang-undang, apa yang kita boleh lakukan adalah cadangkan undang-undang ini kepada Peguam Negara ... Peguam Negara yang akan buat draf undang-undang sebelum bawa ia ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Proses buat undang-undang daripada SPR kepada Peguam Negara, Peguam Negara kepada Parlimen ... kalau nak tukar sistem pilihan raya, ia melibatkan dasar kerajaan dan hanya pemerintah sedia ada yang boleh lakukan.

“Kalau anda (Pakatan Rakyat) memerintah juga sama, jangan aggap SPR sebagai musuh,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan Wan Ahmad dijawab secara tegas oleh Ambiga sambil berkata SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan tuntutan yang dikemukakan.

“Saya tidak bersetuju SPR kata tiada kuasa, undang-undang pilihan raya di bawah SPR, apa maksud kata tiada kuasa? Tiada kuasa ... tanggungjawab SPR untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Siapa yang boleh pastikan pilihan raya bebas dan adil? Siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya yang mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Sepanjang program itu diadakan, Wan Ahmad dicemuh hadirin kerana kecewa dengan jawapan yang diberikan.

Bagaimanapun cemuhan yang dilemparkan terhadap Wan Ahmad ditenangkan moderator Wan Saiful Wan Jan.

Sepanjang program berjalan Wan Ahmad lebih bersikap defensif selain memberikan alasan-alasan remeh yang mendapat respons negatif daripada orang ramai.

Beliau juga menegaskan SPR hanya bertindak di bawah peruntukan yang disediakan dan pilihan raya diadakan secara adil.

“SPR tidak lari daripada peraturan kerana keputusan pilihan raya boleh dicabar jika pilihan raya yang diadakan tidak mengikut undang-undang.

“Apabila kita laksanakan pilihan raya, kita ikut peraturan dan undang-undang, sebab kalau ada pihak yang tidak berpuas hati (dengan keputusan pilihan raya) ia boleh dicabar di mahkamah dan orang yang failkan petisyen boleh beri apa sahaja alasan,” katanya.

Tegas Wan Ahmad, SPR ditubuhkan untuk bertanggungjawab kepada seluruh rakyat bukan sekumpulan yang tertentu.

“SPR bukan sebuah parti politik, SPR hanya badan menguruskan pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menegaskan, sistem pilihan raya sedia ada tidak membenarkan warga asing untuk didaftarkan sebagai pengundi yang sah.

“Sesiapa yang mahu mendaftar sebagai pengundi perlu ada MyKad, kalau bukan warganegara sistem akan tolak ... ia termasuk pemegang kad pengenalan warna merah,” katanya.

Wan Ahmad juga dilihat cuba memerli Pakatan Rakyat apabila mengatakan parti perikatan itu bertindak terlalu agresif berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN).

“SPR mempertahankan diri sebab SPR ditembak dari pelbagai sudut, BN tidak hentam SPR berbeza dengan PAS, PKR dan DAP.

“Beza pendekatan yang mereka (BN) gunakan adalah mereka mengkritik kita secara depan-depan tapi pembangkang mencanangkan kepada media dan secara terbuka menghentam SPR,” katanya.

Beliau juga menambah pihaknya sentiasa terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan yang dibuat sama ada dari Bersih 2.0 atau Pakatan Rakyat untuk penambahbaikan sistem pilihan raya.

Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 telah mengadakan Himpunan Bersih 2.0 sebagai langkah menuntut SPR melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Bersih 2.0 yang terdiri daripada 62 badan bukan kerajaan (NGO) turut disokong Pakatan Rakyat.

Ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan lebih 1,600 orang telah ditahan.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...