02 Februari 2011

MB - Pentadbiran telus tarik pelaburan asing

MB - Pentadbiran telus tarik pelaburan asing
Ditulis oleh AMIN A.

ALOR SETAR: Kestabilan politik, pentadbiran yang telus dan sikap hemah dalam berbelanja merupakan kunci kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga meningkatkan kepercayaan rakyat termasuk pelabur asing untuk menjana ekonomi di sini.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata dengan adanya pemimpin dan pegawai kerajaan yang baik segala wang rakyat dapat disalurkan dengan baik malah dapat berjimat cermat sehingga kerajaan negeri bebas daripada hutang.

"Sebab apa kita ada duit, sebab pemimpin yang ada termasuk pegawai kerajaan terdiri daripada orang yang baik-baik yang menjaga duit seperti menjaga duit sendiri.

"Perkara yang baik dulu, kita teruskan bukannya kita ubah semuanya supaya yang mendapat manfaat ialah rakyat kita sendiri.

"Begitu juga dengan kuasa yang ada, bukan untuk kita tetapi untuk memastikan rakyat hidup selesa dan aman damai,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pusat Komuniti Taman Sri Putera dan Jamuan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, 28 Januari lalu.

Dalam pada itu Ustaz Azizan menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri yang bersih dan amanah juga adalah faktor utama berlakunya peningkatan jumlah pelaburan asing ke Kedah kepada RM2 bilion pada tahun lalu dan bukan semata-mata usaha Kerajaan Pusat.

Sungguhpun mengakui pelabur yang hendak melabur di negara ini perlu melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), namun kestabilan politik di sesebuah negeri menjadi penanda aras yang penting bagi menjana ekonomi

Ustaz Azizan berkata, usaha menarik pelabur asing seharusnya diiktiraf sebagai usaha sama Kerajaan Negeri dan Pusat, bukannya mengambil 'kredit' sepenuhnya di atas peningkatan jumlah pelaburan di Kedah.

"Pelabur luar tidak sewenang-wenangnya melabur ke negeri Kedah sekiranya mereka tidak yakin dengan keupayaan Kerajaan Negeri mentadbir ekonomi.Sebenarnya imej Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat adalah faktor utama peningkatan kehadiran pelabur asing.

"Saya minta Kerajaan Pusat dan Miti tidak sewenang-wenangnya mengambil kredit di atas kejayaan yang dicapai dan perlu mengambil kira peranan Kerajaan Negeri yang memastikan kestabilan politik di negeri yang diperintah,"katanya.

Beliau dilihat membidas kenyataan Timbalan Menteri Miti, Dato' Mukhriz Mahathir yang mendakwa kemasukan pelaburan asing ke Kedah adalah 100 peratus hasil usaha Kerajaan Pusat.

Sejak tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat, pelaburan asing meningkat di tiga buah negeri yang ditadbir iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...