02 Februari 2011

Wan Azizah ketuai misi selesai krisis PKR Sabah

Wan Azizah ketuai misi selesai krisis PKR Sabah
Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan krisis PKR Sabah dan akan melawat negeri itu Ahad ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa biro politik partinya telah memberi mandat kepada presiden parti itu untuk mengetuai misi damai tersebut.

Dr Wan Azizah (gambar), kata beliau, akan membentuk satu jawatankuasa terdiri daripada tiga pemimpin PKR Sabah dan beliau secara peribadi akan mengetuai delegasi ke Sabah 6 Februari ini.

Saifuddin berkata, keputusan itu tidak bermakna parti telah menolak atau menerima resolusi yang dikemukakan 18 daripada 25 cabang Selasa lalu mendesak penolakan Pajudin Noordin sebagai ketua PKR Sabah yang baru.

“Kami ada menerima resolusi tetapi biro politik merasakan kita harus memberikan presiden parti masa untuk menyelesaikan masalah di Sabah,” katanya.

“Jadi, Datuk Seri akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada pemimpin-pemimpin Sabah dan beliau akan secara peribadi terbang ke Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua pemimpin negeri,” kata beliau ketika dihubungi.

Seramai 18 pemimpin cabang PKR Sabah telah menyerahkan resolusi kepada parti bulan lalu meminta Pajudin digantikan dengan orang lain dan Dr Wan Azizah bertindak sebagai pemimpin sementara.

“Kami tidak menolak permintaan mereka sama sekali. Kami mempertimbangkan dan akan datang dengan beberapa opsyen.

“Bagaimanapun situasi di Sabah sangat sensitif kerana kita berurusan dengan beberapa puak, jadi kita perlu membincangkan perkara ini dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Saifuddin.

Resolusi itu ditandatangani oleh cabang Kota Belud, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kimanis, Papar, Beaufort, Keningau, Pensiangan, Tenom, Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Tawau dan Silam.

Mereka menyerahkan memorandum kepada Naib Presiden Fuziah Salleh yang membentangkan pada mesyuarat biro politik 26 Januari lalu.

Pajudin didakwa menjadi proksi Ansari Abdullah, yang mengetuai salah satu puak menentang kepimpinan ketua PKR negeri Ahmad Thamrin Jaini.

Pelantikan Pajudin diumumkan awal bulan lalu dalam satu rombakan susulan pemilihan pusat tahun lalu menggantikan Thamrin.

Sebelum ini PKR Sabah juga berhadapan dengan masalah termasuk keputusan bekas naib presiden Datuk Jeffrey Kitingan dan kira-kira 27 yang lain keluar PKR untuk menubuhkan badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Borneo (UBF).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...