22 Oktober 2011

PRU-13: PKR mahu letak lebih ramai calon muda, muka baru


KUALA LUMPUR, 22 Okt — PKR akan meletakkan lebih ramai calon muka baru, yang muda dalam pilihan raya umum ke-13 dengan mereka yang hendak menjadi wakil rakyat harus ada latar belakang pendidikan kukuh — mereka seharusnya merupakan profesional atau separa profesional.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar) memberitahu The Malaysian Insider bahawa ia merupakan formula bagi PKR menghadapi pilihan raya umum ke-13 — di mana calon yang muda dan berkelayakan akan menggantikan beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) semasa.

“Kami akan membawa orang yang muda, calon yang berkemahiran dengan tiada liabiliti politik,” kata beliau ketika ditemui di sini.The Malaysian Insider difahamkan bahawa kepimpinan kebangsaan PKR sudah memulakan perbincangan dengan wakil rakyat-wakil rakyat semasa pihaknya berhubung keperluan membawa “darah baru” berhubung beberapa kerusi.

Difahamkan wakil rakyat terbabit telah melahirkan kesediaan untuk membolehkan langkah itu diambil.

“Pemimpin-pemimpin parti telah memulakan perbincangan dengan penyandang secara formal. Ia bukan proses yang mudah tetapi langkah itu sedang diadakan,” kata Saifuddin.

Beliau optimistik mengenai masa depan PKR dan politik Malaysia meskipun parti komponen Pakatan Rakyat itu, yang berusia 12 tahun, turut berhadapan dengan kontroversi — termasuk lima Ahli Parlimennya keluar parti tahun lalu dan awal tahun ini.

“Sejak tahun ini, kami mengambil dan menerima permohonan daripada calon-calon yang beraspirasi, sesetengahnya sudah pun menjadi ahli dan sesetengah ahli baru dengan tujuh hingga lapan calon berminat di satu-satu kawasan pilihan raya.

“Calon-calon telah memberikan biodata mereka dalam semua bentuk, kerja-kerja yang mereka telah jalankan di kawasan luar bandar, sesetengahnya menerusi format CD... syaratnya ialah mereka harus ada latar belakang yang baik, kemahiran kepimpinan dan kemahiran boleh memobilisasi,” kata Saifuddin.

“Kami melihat pada portfolio mereka dan telah memutuskan, telah mengenal pasti beberapa calon yang berpotensi,” kata beliau lagi.
Dalam pilihan raya umum lalu, PKR telah memenangi 31 daripada 97 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

DAP dan PAS masing-masing menang 23 dan 28 kerusi.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...