16 Oktober 2011

DAP PERAK TIDAK BIMBANG ISU HUDUD

Pendirian BN tentang isu hudud ini pula sangat berbeza menyebabkan orang Melayu Perak merasa kurang senang dan akan menolak mereka dalam PRU 13 nanti.


PETALING JAYA: Isu hudud yang menjadi kontroversi di media sekarang tidak menjadi faktor penentu dan membimbangkan DAP Perak untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Ketua DAP Perak dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan Ngeh Koo Ham ketika dihubungi yakin pengundi Melayu lebih cenderung menyokong DAP yang sanggup berbincang dengan PAS meskipun berbeza pendirian.

“Pakatan Rakyat tidak menolak pelaksanaan hudud. DAP pula sanggup mendengar penjelasan PAS cuma DAP berbeza pendirian atas dasar keadilan,” terang beliau yang juga ahli parlimen Beruas.
Kata beliau, pendirian Barisan Nasional (BN) tentang isu hudud ini pula sangat berbeza menyebabkan orang Melayu Perak merasa kurang senang dan akan menolak mereka dalam PRU 13 nanti.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan manakala MCA mengugut akan keluar dari BN,” jelas Ngeh.

Isu hudud hangat diperkatakan sejak bulan lepas apabila Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Menteri Besar Kelantan mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan apabila ia dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat pada penghujung bulan lepas memutuskan bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapatkan konsensus dari parti komponen Pakatan Rakyat – PKR, DAP dan PAS.

Pembahagian kerusi selesai
Dalam perkembangan berkaitan, Ngeh mengakui bahawa pembahagian kerusi Pakatan Rakyat di Perak untuk PRU 13 telah pun selesai.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran mengenai pembahagian kerusi itu.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi kami di Pakatan Rakyat. Politik adalah seperti permainan catur dan kami tidak mahu beri kelebihan kepada BN,” jelas beliau.
Ngeh turut mendakwa bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mendedahkan strategi mereka kerana sudah ada usaha merosakkan nama baik Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas menteri besar.

Ketika ditanya berkenaan calon Melayu untuk DAP, Ngeh berkata Pakatan Rakyat Perak telah membuktikan bahawa politik mereka melangkaui batas kaum.
“Dalam Pakatan Rakyat, calon Cina akan bantu Melayu dan India dan begitulah sebaliknya. Kita akan lebih bersatu. Perbezaan di dalam pelaksanaan dasar umpamanya akan berdasarkan keperluan,” kata Ngeh.Ngeh turut ditanya berkenaan trend pengundi terhadap DAP khususnya dan Pakatan Rakyat secara amnya.

“Pengundi bandar dan mereka yang membaca berita alternatif lebih cenderung menyokong DAP dan Pakatan Rakyat manakala penduduk luar bandar yang hanya mendapat berita media arus perdana dan mendapatkan segala yang dipinta cenderung mengundi BN.
“Masalahnya mereka tidak faham bahawa apa yang mereka perolehi itu datang dengan kos rasuah yang tinggi,” kata Ngeh.

1 ulasan:

Unknown berkata...

terima kasih kerana sudi berkongsi link dengan kami. blog anda telah pun di masukkan kedalam blog kami

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...