21 Ogos 2011

Mat Sabu: Melayu perlu sensitif lawan isu rasuah, salah guna dana

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu kaum Melayu mengikis sikap acuh tak acuh berhubung isu rasuah dan salah guna dana awam, sebaliknya meneladani sikap pengundi Cina yang berani menunjukkan pendirian menentang budaya sedemikian semasa pilihan raya.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kaum Melayu tidak seharusnya bergantung pada isu-isu perkauman semata-mata.

“Muslim tidak sensitif kepada isu-isu pembaziran dan rasuah berbanding kaum Cina,” kata beliau pada ceramah di Kampung Pandan di sini.

“Mengapa orang Melayu tidak sensitif? Ini masalah kita,” katanya.

Mohamad (gambar) menekankan pendirian orang Melayu yang senyap ketika skandal industri perbankan terbesar di Malaysia pada 1983 apabila Bumiputra Malaysia Finance (BMF), unit Bank Bumiputra Malaysia Bhd, dilaporkan mengalami kerugian sehingga AS$1 bilion (RM3 billion).

Tambah Mohamad, masyarakat Cina pula menggerakkan sokongan mereka kepada pembangkang ketika pilihan raya umum 1986 apabila bekas presiden MCA Tan Koon Swan dipenjarakan di Singapura berhubung kes pecah amanah melibatkan Pan-Electric Industries, sebuah syarikat berpejabat di Singapura dengan modal pasaran kira-kira S$230 juta.

Ia runtuh pada 1985 dan menyebabkan pasaran saham di Singapura dan Kuala Lumpur ditutup selama tiga hari.

Orang nombor dua PAS ini juga menyentuh skandal 1986 berkaitan koperasi pengambilan deposit Tan melibatkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion, membabitkan sejuta rakyat Malaysia, kebanyakannya masyarakat Cina.

“Pada pilihan raya 1986, kaum Cina termasuk ahli-ahli MCA tidak mengundi MCA. Mereka mengundi DAP sehingga ia mendapat 24 kerusi,” kata beliau.

“Apabila kita, orang Melayu bercakap mengenai Bank Bumi rugi RM2.5 bilion, kita hanya sengih,” katanya lagi.

Dengan merujuk kepada pengalaman beliau dalam mendapatkan rawatan kecederaan di lutut, yang dialami pada 9 Julai lalu semasa perhimpunan Bersih 2.0, Mohamad berkata, rasuah menyebabkan keperitan hidup.

Katanya, doktor memberitahunya bahawa mereka hanya boleh membuat pembedahan pada 21 Julai ekoran kekurangan doktor.

“Apabila dana-dana kerajaan hilang, mereka (orang Melayu) hilang hak mereka. Apabila dana kerajaan hilang, kita berhadapan dengan kesan buruk,” kata beliau yang popular di kalangan pemimpin akar umbi.

Petang semalam beliau melancarkan kempen antiharga barang naik atau dikenali sebagai “Protes BN” di ibu negara.

Justeru beliau meminta ahli-ahlinya membawa mesej kempen itu ke kampung masing-masing ketika sambutan Aidilfitri minggu depan.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...