11 Mac 2011

KERAJAAN TIDAK MAMPU TAMBAH SUBSIDI?

Minyak mentah AS$120 setong
Oleh Shahrizan Salian
Ketegangan geopolitik Asia Barat, rantau MENA pengaruhi harga

HARGA minyak mentah global dijangka boleh melonjak sehingga AS$120 setong jika ketegangan geopolitik yang berlaku Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) berlarutan hingga Jun ini.Semalam kekacauan di Libya, antara negara pengeluar minyak mentah utama yang menganggotai OPEC, terus memuncak dengan pertempuran berlaku di bandar minyak yang terletak di sebelah timur negara itu, iaitu Ras Lanuf dan Zawiyah, tidak jauh dari ibu negara Tripoli.

Beberapa saluran paip minyak di bandar terbabit diletupkan, manakala kemudahan pemasangan bagi proses pengeluaran minyak dibakar oleh pemberontak.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan gangguan bekalan komoditi itu, sekali gus menyaksikan penanda aras, kontrak minyak ‘Light, Sweet’ penghantaran April pasaran New York melonjak 46 sen kepada AS$104.84 setong petang semalam, manakala minyak mentah Brent di pasaran United Kingdom (UK), meningkat 26 sen kepada AS$116.20 setong.

Keadaan yang sudah berlarutan selama beberapa minggu itu menyebabkan harga minyak terus kekal di atas paras AS$100 setong sejak 1 Mac lalu.

Ahli Ekonomi Kanan AmResearch Sdn Bhd, Manokaran Mottain, bagaimanapun berkata pihaknya menjangka kekacauan yang berlaku di rantau MENA itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sekali gus mengakhiri aliran meningkat harga bahan bakar itu menjelang Jun ini.Sebahagian besar negara global kini termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat tidak mahu keadaan itu berlarut, sekali gus menjejaskan ekonomi yang baru pulih daripada krisis kewangan baru-baru ini.

“Harga minyak dijangka boleh dikekalkan pada paras semasa iaitu sekitar di bawah AS$100 setong selepas ketegangan di rantau berkenaan reda,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Walau begitu, katanya, jika kekacauan tidak dapat diselesaikan dan aliran harga minyak mentah terus meningkat selepas Jun ini, maka kerajaan Malaysia dijangka terpaksa membelanjakan tambahan RM4 bilion lagi subsidi minyak untuk terus kekal harga runcit petrol dan diesel bersubsidi pada harga semasa.

Ia adalah tambahan kepada anggaran awal perbelanjaan subsidi minyak RM10 bilion untuk dibelanjakan tahun ini seperti yang dibentangkan pada Bajet 2011.

“Berdasarkan aliran semasa, harga minyak bagi kontrak hadapan West Texas
Intermediate (WTI) di pasaran New York paling tinggi boleh mencecah AS$120
setong dalam tempoh tiga bulan ini. Saya yakin kerajaan juga mempunyai mekanisme sendiri untuk berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menegaskan untuk mengekalkan harga runcit semasa petrol bersubsidi, RON95 pada RM1.90 dan diesel pada RM1.80 walaupun harga minyak mentah dunia terus meningkat.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berikutan keputusan itu pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mencari alternatif bagi menampung peningkatan itu.

Katanya, alternatif terpaksa dicari segera bagi mengelak kerajaan menanggung subsidi mencecah RM14 bilion tahun ini, sedangkan kerajaan memperuntukkan bajet RM10.3 bilion bagi semua subsidi termasuk minyak, gas memasak, gula, beras dan minyak masak.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...