07 Mac 2011

Jentera BN peralat habuan politik dan keselamatan sosial pengundi

Mohd Azlan Zainal |

Berdasarkan penemuan kajian lapangan pihak ILHAM Centre di N27 Merlimau, kemenangan Barisan Nasional menerusi calonnya Roslan Ahmad sudah boleh dijangka. Dengan mengukurkepada respon pengundi kepada kempen oleh jentera BN yang begitu dominan menenggelamkan kekuatan jentera PAS.

Kekuatan dan gerakan agresif jentera bersepadu BN melalui eksploitasi media arus perdana, jentera kerajaan peringkat negeri dan persekutuan seakan tidak termampu untuk jentera PAS yang turun sekadar ala kadar mengimbangi persaingan demokrasi di sini. Akibatnya, pengundi tenggelam perhitungan dengan kempen BN yang lebih mengasak dan mendesak survival pengundi dari aspek keselamatan sosial dan janji habuan selepas pilihan raya.

Keputusan pilihanraya kecil DUN N27 Merlimau yang dijadualkan berlangsung esok dijangka akan memihak kepada calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008.

Latar Belakang Kajian Sikap dan Kecenderungan Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil N27 Merlimau

ILHAM Centre telah melakukan satu kajian sempena Pilihan Raya Kecil Ke-14 yang kini berlangsung di N27 DUN Merlimau, Melaka. Kajian lapangan ini telah dijalankan pada 2 hingga 3 Mac 2011 lepas untuk melihat perspektif pengundi terhadap parti, calon dan kecenderungan pengundian mereka.

Tinjauan ini dilakukan di semua daerah mengundi iaitu Pangkalan Saman, Permatang Serai, Merlimau Pasir, Merlimau Utara, Jasin Lalang, Chin Chin dan Ayer Merbau dengan menemubual pengundi berdaftar secara bersemuka. Responden yang berjaya dinilai sebagai "sample" kajian ini seramai 423 orang yang terdiri daripada semua komposisi kaum, peringkat umur, jantina dan pekerjaan.

Populariti parti mengatasi kekuatan calon

Dapatan kajian Merlimau seakan selari dengan beberapa paten populasi di dalam Pilihan Raya Kecil lainnya yang mana memperlihatkan kecenderungan utama pemilihan pengundi masih lagi meletakkan kepada kekuatan parti berbanding calon dan isu. Faktor parti di wakili 63.8% daripada keseluruhan responden.

Jika dilihat kepada kekuatan calon, calon BN iaitu Roslan Ahmad lebih terkehadapan dengan 80.8% dikenali oleh responden. Manalaka calon PAS, Yuhaizat Abdullah hanya mencattatkan 55.8% populariti di kalangan responden.

Pengundi bukan Melayu masih bersama pembangkang

Menerusi tinjauan pihak ILHAM Centre, jentera DAP dilihat begitu bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi Cina untuk menolak BN dalam kempen mereka. Mereka juga begitu komited menjaga peti-peti undi majoriti Cina bagi memastikan jentera MCA tidak akan memanipulasi perubahan undi Cina kepada BN dalam pilihan raya ini. Paten pengundi Cina di sini dijangka kekal.

Isu tempatan lebih dominan berbanding isu nasional

Apabila ditanya tentang jenis isu yang mempengaruhi pengundian responden, ternyata isu tempatan adalah lebih dominan berbanding isu nasional apabila isu tempatan mencatatkan sebanyak 49.2% berbanding isu nasional hanya sebanyak 18.9%.

Antara isu serangan kepada peribadi calon PAS ialah mengenai kredibiliti Yuhaizat yang mendiami di kuarters guru kerajaan di atas kelayakan isterinya sebagai sebagai guru, yang dilihat oleh UMNO sebagai seorang calon yang tidak ada kredibiliti mencatatkan sebanyak 42.6% iaitu sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian di sini. Isu-isu tempatan lain ialah isu kemudahan awam yang kurang memuaskan dan isu pemilikan tanah.

Jentera PAS terlalu unorganized

Berdasarkan pemerhatian perbandingan dalam siri-siri pertembungan PAS dan UMNO dalam pilihan raya kecil, pertembungan di Merlimau memperlihatkan jentera tidak dikoordinasi dengan kekuatan yang optimum.

Berdasarkan respon daripada dapatan lapangan seakan mengesahkan bahawa kehadiran PAS dalam pertembungan PAS dengan UMNO hanya sekadar mencabar dan "berdakwah" dan bukannya hadir untuk mencapai kemenangan.

Penyusunan siri-siri ceramah dan kempen yang melibatkan kepimpinan parti ini juga tidak menampilkan sepenuh kekuatan parti ini dalam usaha mencabar jentera BN/UMNO yang agresif.

Calon PAS bermasalah

Saudara Yuhaizad Abdullah selaku calon PAS terlalu mengikut rentak dan liuk lentok serangan BN/UMNO. Ini melihat kepada kenyataan media dan ceramah beliau menjawab semua serangan pihak lawannya seakan ia ingin memenangi hujah. Ini jelas dan ketara seolah melihatkan calon PAS seakan bermasalah dan sepatutnya memberi tumpuan dalam usaha kepada rayu undi dan menjelaskan dasar-
dasar pakatan rakyat.

Calon UMNO/ BN ketika analisa ini ditulis masih berada dalam zon selamat dengan pembawaan kempen sederhana sedikit sebanyak memikat undi di kalangan pemilih yang belum membuat pendirian dalam keputusan undian mereka.

Kempen PAS kurang mendasar/rapat kepada akar umbi berbanding jentera UMNO

Berdasarkan perbandingan gerakan kempen yang efektif, BN mempunyai kelebihan berbanding dengan PAS. Jentera BN yang dilihat mengeksploitasi segala kelebihan terutama jentera kerajaan negeri dan pusat untuk menyokong parti yang bertanding seakan mengunci kempen PAS dalam pilihan raya kali ini.

Kempen Pas tidak mendasar dan terus kepada pengundi, sebaliknya hanya bergantung kepada risalah yang terhad menyekat peluang PAS meyakini pengundi di sini. Rata-rata responden tidak terkesan dengan penerangan oleh PAS berbanding BN/UMNO.

Faktor Ali Rustam dan 1 Malaysia

Menerusi maklum balas di kalangan pengundi di Merlimau, kekuatan Ali Rustam agak signifikan kepada penduduk setempat walaupun imej beliau di peringkat nasional agak buruk. Kempen 1 Malaysia yang dibawa oleh jentera BN kelihatan diterima di peringkat bawahan. Ini boleh dilihat apabila 56.5% responden memberikan respon positif kepada kempen ini.
Kesimpulan

ILHAM Centre melihat status quo kerusi UMNO/BN di Merlimau dapat dikekalkan oleh BN/UMNO. Peratusan pengundi kepada BN dilihat melonjak sedikit berbanding keputusan pilihan raya 2008. Ini disimpulkan berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh BN/UMNO. Namun, BN masih gagal memperolehi keyakinan kepada pengundi di kalngan masyarakat Cina untuk menyokong UMNO/BN dengan gerakan yang konsisten oleh jentera DAP dalam membantu PAS di sini. Bebanan sekarang tertanggung di atas bahu PAS dalam meyakinkan pengundi Melayu khususnya untuk menterjemahkan kepada undi dalam tempoh terdekat sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam ini.

Latarbelakang ILHAM Centre

ILHAM Centre ditubuhkan pada 2006 berusaha menyumbang kepakaran dalam penyelidikan politik ke arah memperkukuh dan menyuburkan proses demokrasi di Malaysia. Bergerak secara bebas dengan mengutamakan data berdasarkan kajian dengan tujuan untuk mengangkat suara rakyat sebenar untuk perhatian kepafda pihak yang terbabit dalam pembuatan keputusan di peringkat negara.

Menggunakan metodologi penyelidikan tinjauan lapangan secara tatap muka dengan responden dalam menyokong dapatan kajian yang lebih akurat. Di samping dibantu oleh felo penyelidik yang kredibel diharapkan dapat membuat analisa dapatan yang lebih baik dan absah.

*Mohd Azlan Zainal ialah Pengarah Eksekutif ILHAM Centre.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...