28 Februari 2011

PM TUN ABDULLAH KENA TIPU LAGI?

Kong Choy hadapi tuduhan kes PKFZ


PUTRAJAYA, 28 Feb — Bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Chan merupakan bekas menteri pengangkutan yang kedua didakwa berhubung skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Chan yang berada di luar negara pulang beberapa hari laku selepas diminta oleh pihak berkuasa.Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman membenarkan Chan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.Kedua-dua pihak pendakwa dan pembela bersetuju dengan wang jamin RM1 juta.

Pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ''Mega Distribution Hub'' di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kes ini dikendalikan itu oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan,Putrajaya iaitu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega ''distribution hub'' di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Chan merupakan individu keenam dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.Akhir 2009, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat projek itu telah mencadangkan supata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Chan dan Phang kerana pecah amanah.

Menurut laporan PAC itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Berikutan itu, pada 10 Disember 2009, Phang didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan atas dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.
PETIKAN Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...